Usahasama MODENAS dengan BAJAJ daripada India telah pun melebihi setengah dekad. Satu model BAJAJ tampak lebih prominen daripada model-model yang telah pun dipasarkan oleh MODENAS pada masa-masa lalu, iaitu model DOMINAR. Walaubagaimana pun, kelasakan dan keunikan model DOMINAR ini tidak dapat dieksploitkan sepenuhnya kerana dihasilkan dalam kapasiti enjin 400cc. Umum mengetahui, lebih daripada 70% pemilik motosikal tempatan walaubagaimana pun, hanya mempunyai had sehingga 250cc sahaja. Oleh itu, DOMINAR 400 tidak berjaya menembusi pasaran tempatan dengan lebih baik sejak diperkenalkan pada tahun 2018 lalu.

Setelah melalui pelbagai pengolahan dan pengubahsuaian produksi, akhirnya BAJAJ DOMINAR menghasilkan DOMINAR 250 untuk dipasarkan di Malaysia di bawah penjenamaan MODENAS DOMINAR 250 untuk membolehkan lebih ramai para pencinta dua roda turut merasai kebolehan dan kelasakan jentera ini, walau ianya mungkin tidak sekuat 400cc.

Adakah DOMINAR 250 ini mempunyai tarikan yang serupa dengan jentera asal yang diperkenalkan lima tahun yang lalu? Ayuh kita kupas dengan lebih teliti.

REKA BENTUK FIZIKAL
Secara mata kasar, ianya memang saling tidak tumpah fizikalnya dengan DOMINAR 400. Si adik ini, tetap didatangkan dengan penyerap hentakan hadapan jenis terbalik, meter LCD sepenuhnya lengkap dengan meter kedua yang memberi lebih informasi kepada penunggangnya.

Tangki bahanapinya tampak tegap dan besar kerana menggunakan kapasiti tangki yang sama dengan D400 iaitu 13 liter. Lampu hadapan D250 ini juga menggunakan semula lampu hadapan D400 dan pelananya juga serupa di antara kedua-dua model ini.

Corong ekzos berkembar yang diperkenalkan pada model D400 versi kedua tidak berapa lama dahulu juga turut digunakan oleh D250 ini. Namun, kita akan lebih mengulas tentang penggunaan corong penyerap bunyi jenis berkembar ini dalam segmen kesimpulan sebentar lagi.

Penggunaan saiz tayar walaubagaimana pun, menggunakan saiz yang sedikit kecil (difikirkan ini lebih wajar terutama mengambil faktor kapasiti enjin telah dikurangkan), iaitu 100/89-17 untuk hadapan (berbanding D400 bersaiz 110/70-17) dan 130/70-17 (berbanding D400 bersaiz 150/60-17).

PENUNGGANGAN
Selepas menghayunkan kaki anda merentasi pelananya, perasaan yang sama dapat dirasakan pada D250 ini dan dirasakan dimensi dan ketinggian pelananya juga hampir-hampir serupa dengan D400. Apabila masuk gear pertama, pulasan pendikit menghasilkan tujahan kuasa yang agak baik dan membolehkan ianya bergerak luncur melusuri gear-gear seterusnya.

Namun apabila D250 ini mula bergerak, bar handelnya dirasakan agak sedikit berat untuk mengendalikannya. Walau faktor ini membantu daripada segi pengendalian di dalam selekoh yang membuatnya lebih stabil, tetapi ketika penunggangan dalam bandaraya, faktor ini akan sedikit memenatkan penunggangnya selepas beberapa tempoh waktu menunggang.

Meluncur kelajuan daripada gear rendah ke gear tertinggi, saya dapati D250 ini mempunyai lampu amaran tukar gear pada tahap RPM 7,000. Ini agak mengecewakan bagi saya kerana kita tidak dapat menarik pacuan enjin untuk lebih ekstrim akibat lampu amaran yang naik setiap kali sampai ke tahap tersebut. Sepatutnya, untuk jentera 250cc (lebih tepat kapasiti sebenarnya adalah: 248.77cc), lampu amaran tersebut boleh dilaras sehingga ke RPM10,500 memandangkan tolok meter maksima adalah sehingga ke 13,000.

Ketika menguji selaju mana D250 ini dapat dicapai pada kadar standard, mengikut ukuran fizikal saya (96kg dan 183cm), saya berjaya mencapai kelajuan maksima iaitu 135kmj pada kelajuan meter (bukan GPS) ketika ujian dibuat atas lebuhraya. Saya merasakan kelajuan ini sudah cukup baik untuk sebuah motosikal 250cc berselinder tunggal.

KESIMPULAN
MODENAS DOMINAR 250 ini, patut dipilih oleh individu-individu yang menggunakan motosikal sebagai transpot utama ulang alik kerja. Terutamanya bagi mereka yang terpaksa menempuh perjalanan dalam lingkungan 100km sehari pegi dan balik. Ini adalah kerana, selain daripada kedudukan penunggangnya yang lebih rileks, tidak terlalu membongkok dan kusyen pelananya yang agak tebal dan selesa, prestasi enjinnya sangat sesuai untuk perjalanan jarak sederhana dan jauh.

Namun saya menghadapi perasaan yang bercampur aduk tentang corong penyerap bunyi ekzosnya. Dari segi fizikal, ianya agak menarik, sporty dan juga tampak kukuh serta kemas. Malah, bunyi dari corong ekzosnya pun agak bass dan mendalam. Sedap didengar! Tetapi, ianya dirasakan agak memberikan tambahan berat yang tidak diperlukan untuk model ini.

Sekiranya digantikan dengan ekzos corong tunggal, ianya sepatutnya lebih efisyen dan mampu memberikan prestasi tujahan dan kelajuan yang lebih baik akibat daripada pengurangan berat ini.
Ketika dilancarkan pada bulan Mei 2023 yang baru lalu, harga pasaran tanpa kos insurans, cukai jalan dan kos pendaftaran, adalah sekitar RM13,797.

Harga ini, walau agak murah untuk harga pasaran motosikal model 250cc, namun memandangkan harga D400 versi adventure adalah sekitar RM 15,797 sahaja, saya rasakan lebih berbaloi memilih D400 tersebut. Namun bagi yang tidak ada lesen B full, apakan daya, terpaksalah anda berpuas hati dengan jentera 250cc ini sahaja.

SPESIFIKASI

ENJIN
Selinder tunggal, 4 lejang, DOHC, 4 INJAP, Sejukan cecair, Suntikan Bahanapi Penalaan berkembar.

KAPASITI
248.77cc

TORK MAKSIMA
23.5Nm @ 6,500 RPM

KAPASITI BAHANAPI
13 Liter

KUASA MAKSIMA
19.85kW @ 8,500 RPM

PACUAN
Rantai

KOTAK GEAR
6 Kelajuan

KLAC
Jenis Basah, “MULTIPLATE” dengan sistem “Assist & Slipper”

Leave a comment

Trending