Aprilia adalah antara syarikat pembuat motosikal yang sentiasa menghasilkan enjin-enjin yang inovatif, samada pengurangan selinder, penggunaan bahan asas dan berat keseluruhan yang lebih ringan, seperti 2 selinder selari atau “parallel twin” berbanding dengan keluaran enjin konvensional 4 selinder.

Seperti pembuat motosikal Italia yang ‘satu lagi’ itu, kebanyakan model-model yang dihasilkan adalah berasaskan motosikal lumba mereka yang bersaing hebat samada dalam MOTOGP atau WSBK. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa, mereka ini serius membawa teknologi perlumbaan untuk dimanfaatkan oleh penggemar motosikal secara global.

Aprilia menggegarkan dunia peminat motosikal sport atau ala perlumbaan apabila menghasilkan model RS 660. Masakan tidak, ketika peminat masih menggilai kehebatan RSV4 (1000cc), RS660 ini boleh dikatakan sebagai ‘adik’ untuk memenuhi permintaan peminat yang menginginkan kehebatan imej RSV tetapi dengan harga pasaran yang tidak terlalu tinggi.

Dalam pada itu, Aprilia tidak melupakan pula mereka yang menginginkan prestasi RS660 ini tetapi lebih meminati imej ‘garang’ atau bad-boy dengan konsep jalanan atau pun lebih popular dengan nama naked.
Jika alternatif untuk RSV4 adalah TUONO V4, untuk RS660 pula, ada TUONO 660. Malah, pembuat motosikal Italia ini turut menyertakan satu model khas dan lebih berkuasa iaitu TUONO 660 FACTORY.
FIZIKAL/KOSMETIK
Dari segi fizikal atau rekaan kosmetiknya, TUONO FACTORY ini tidak ada bezanya dengan model STANDARD. Begitupun, bahagian kusyen pelana pembonceng disertakan penutup yang sekiranya diamati, seperti ekor jet pejuang. Sudah tentunya, teknologi aerodinamik motogp turut disertakan untuk model jalanraya ini.
Selain hanya satu skim warna yang tersedia untuk model FACTORY ini (FACTORY BLACK), model ini mempunyai penambahan di bahagian lampu LED hadapannya yang lengkap dengan jenis DRL, yang berkebolehan untuk melaras suluhan lampunya mengikut sudut keleperan motosikal dalam selekoh!

PENUNGGANGAN
TUONO 660 FACTORY berlainan daripada TUONO 660 standard dibekalkan dengan penambahan 5 kuasa kuda pada pengeluaran kuasa optimanya sehingga kepada 100hp, namun tahap TORK tidak berubah iaitu pada 67Nm pada kadar 8,500 rpm. Namun sebenarnya, sekiranya anda mempunyai tolok pengukur kelajuan dan diambil pencapaian masa dalam satu pusingan sirkuit, anda sebenarnya tidak tahupun penambahan kuasa ini.
Tidak cukup dengan penambahan kuasa ini, TUONO 660 FACTORY dilengkapkan dengan gegancu hadapan yang kurang satu ‘mata’ daripada TUONO 660 Standard, iaitu bersaiz 16 ‘mata/gigi’ dengan gegancu akhir/belakang yang bersaiz 43. Nisbah gegancu ini membolehkan keseimbangan dengan kuasa yang ditambah pada enjin untuk disalurkan kepada pacuan akhir di roda belakang.

Adalah menjadi satu ‘kesalahan’ sekiranya jentera berprestasi tidak disertakan sistem gear guickshifter (naik dan turun) sebagai satu elemen untuk memacu kotak gear 6 kelajuan. Fakta ini tidak perlu dirisaukan oleh pencintanya kerana ianya antara peralatan ‘kelajuan’ standard untuk TUONO FACTORY ini.
Antara kebolehan motosikal berprestasi tinggi ini, sudah tentulah keupayaan untuk menetapkan penghantaran kuasa enjin bagi kepelbagaian keperluan penunggangan. APRILIA TUONO FACTORY ini dilengkapi dengan 5 tahap penunggangan yang boleh dilaras sendiri dengan lebih terperinci. Mode untuk jalanraya dan dalam litar yang telah tersedia diprogramkan dalam sistem elektroniknya namun sayang saya tidak berupaya untuk menguji kesemua bantuan penunggangan elektronik seperti pengawalan cengkaman, pengawalan ‘wheelie’, pengurangan kelajuan melalui tahap kitaran enjin, kawalan penunggangan melahu dan ABS dalam selekoh.

Kesemua kebolehan bantuan penunggangan ini sudah tentu dapat dirasai jika ditunggang dalam litar, namun saya harus menyampaikan disini bahawa, prestasi enjin TUONO FACTORY ini, walau dikatakan lebih berkuasa daripada versi standard, namun ianya JAUH lebih mudah diselenggarakan.
Saya pernah menguji RSV4 dan juga TUONO V4, ternyata saya tidak begitu menyukainya kerana kedua-dua model ini terlalu payah untuk saya kawal kerana kuasanya yang begitu kuat dan menggerunkan. Tidak pada TUONO 660 factory ini. Ianya memberikan keseronokan kerana masih memberikan keterujaan ketika penghantaran tujahan kuasa yang kuat ketika di gear-gear rendah, tetapi tidak pula ianya pada bila-bila masa dirasai berada di luar kawalan.

Mungkin kerana saiz ketinggian dan badan saya, merasakan TUONO 660 Factory ini seperti menunggang 250cc, memberikan keyakinan untuk saya melibas kiri dan kanan ketika mengujinya. Sistem suspensi jenis terbalik bersaiz 41mm daripada KAYABA di bahagian hadapan, dan jenis tunggal berjenama SACHS untuk suspensi belakang (lengkap dengan tabung), turut membantu mengendali selekoh-selekoh ketika tunggangan agresif.
KESIMPULAN
Jika perlu satu ungkapan sahaja untuk TUONO 660 FACTORY ini ialah, ‘SERONOK’.

Bantuan penunggangan elektronik, mode enjin serta sistem suspensi yang menepati keperluannya menjadi sebab ianya lebih padu daripada versi Standard. Model ini diperkenalkan pada hujung 2022 yang pada ketika itu ditandakan dengan harga RM73,900 tanpa cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Pengurangan berat, serta sistem brek daripada kaliper BREMBO, turut menyeronokkan pengalaman.

Maka persoalannya, adakah ini cukup kuat untuk anda memilikkinya? Ukurlah baju di badan sendiri.
SPESIFIKASI
ENJIN
659 cc berkembar selari, 4 lejang
KUASA
100hp
TORK
67 Nm at 8,500 rpm
GEAR
6 Kelajuan lengkap dengan ‘quickshifter’ untuk gear rendah dan gear tinggi.
GEGANCU
Hadapan: 16, Belakang: 43
SUSPENSI
Hadapan: Jenis terbalik 41mm (KAYABA), Belakang: Jenis tunggal (SACH)
BERAT KESELURUHAN
181kg
RODA
Hadapan: 120/70-17 Belakang: 180/55-17







Leave a comment