Adalah satu yang tidak dapat ditolak apabila dijemput untuk menguji pandu sebuah jentera terbaru daripada jenama hebat Itali, bersama dengan beberapa pengamal media daripada negara-negara Asia yang lain. Tambahan pula apabila jemputan itu memberi peluang untuk saya mengujinya di luar negara, serta mengukur kehebatan jentera ini di kedua-dua laluan bertar dan juga laluan ‘off road’.

DUCATI DESERT X adalah satu genre motosikal ‘adventure’, atau motosikal jenis lasak, direka khusus untuk dibelasah atas laluan-laluan pendalaman, padang pasir, yang sudah pasti juga didatangkan dengan sistem-sistem sokongan bantuan penunggangan yang terkini dan serba canggih. Begitupun, bagaimana pula prestasi Ducati Desert X ini atas jalanraya biasa yang mempunyai selekoh-selekoh tajam serta ketangkasannya atas lebuhraya yang lurus dan luas?

Selama 5 hari saya diberi peluang untuk mencungkil kebolehan teknologi yang ada pada jentera unik Ducati ini dan secara amnya, saya bahagikan kupasan prestasinya pada tiga segmen yang sudah tentunya menjadi ukuran setiap pencinta dua roda. Saya tidak akan memperincikan spesifikasi enjin Desert X ini yang mana informasi ini sangat mudah untuk anda dapatkan sendiri dari internet. 

FIZIKAL

Skim warna merah menyala selalunya menjadi imej atau watak kepada jentera-jentera Ducati. Namun kali ini, warna putih menjadi pilihan ahli keluarga terbaru jenama Italia ini. Motosikal jenis lasak ini sudah tentu didatangkan dengan pelana atau tempat duduk yang agak tinggi. Saya yang mempunyai ketinggian 183cm (6 kaki), berupaya untuk memijak permukaan dengan kemas namun sekiranya anda kurang daripada 5’5”, anda harus berkebolehan untuk mengimbangi motosikal dengan baik yang mana saya lihat sendiri apabila seorang peserta dari Korea yang terpaksa ‘menggantung’ sebelah kakinya bagi membolehkan kakinya yang lagi satu memijak permukaan ketika konvoi kami berhenti di lampu isyarat.

Penggunaan roda hadapan bersaiz 21inci dan roda belakang bersaiz 18inci, dilihat sebagai satu langkah untuk memberikan pengendalian pengemudian yang mudah terutamanya penunggangan atas laluan yang berpasir dan seumpamanya. Sistem ini sudah menjadi kebiasaan pada motosikal-motosikal lasak yang rata-ratanya menggunakan roda yang lebih besar di hadapan.

Lampu hadapannya memberitahu anda bahawa Ducati berusaha untuk mengembalikan rekaan-rekaan retro tetapi dalam pada itu dibekalkan dengan teknologi elektronik yang terkini. Dua lampu bulat yang di ‘lilit’ oleh lampu LED DRL (Daytime Running Lights), mengesahkan pengaruh rupabentuk motosikal-motosikal lasak yang sering berlumba dalam perlumbaan Rally Paris ke Dakkar, yang dikatakan sebagai perlumbaan lasak tahap paling tinggi di dunia.

Pelindung bahagian enjin yang diperbuat daripada aluminium turut menambah estetika rekaan motor lasak yang sering digunakan perlumbaan-perlumbaan ‘enduro’. Selain menggunakan ‘body kit’ yang minima, Ducati Desert X ini memastikan aruhan udara panas daripada kipas penyejuk radiator enjin TESTASTRETTA generasi ke 11 ini yang berkapasiti 937cc, dialirkan keluar dengan efisien dan tidak ‘membakar’ peha atau kaki penunggangnya.

TUNGGANGAN DI JALAN BERTAR.

Kami dibawa menunggang di kawasan pergunungan dan bukit bukau di utara Thailand, yang mana laluan ini menjadi pilihan eksplorasi para pencinta motosikal jarak jauh atau motosikal lasak. Keadaan topografi laluan yang dipilih sangat mencabar dengan selekoh-selekoh yang berterusan walau pun sudah satu jam kami menunggang.

Dalam pada tungganguji yang dijalankan di laluan-laluan ini, saya dapati sistem suspensi standard yang dibekalkan iaitu daripada KYB (KAYABA) tidak mengecewakan. Penggunaan penyerap hentakan jenis terbalik di hadapan, bersaiz 46mm dan penyerap hentakan tunggal belakang yang boleh dilaras sepenuhnya, beroperasi dengan sangat baik ketika pengendalian dalam selekoh, atau ketika penggunaan brek yang memerlukan kestabilan motosikal. Cuma agak sukar ‘menghadam’ jenama KYB ini bersama Ducati. Selalunya Ohlins, menjadi pilihan utama Ducati.

Begitu pun, saya dapat mengesan terdapat sedikit kelemahan pada tayar yang dibekalkan iaitu Pirelli Scorpion Rally STR yang agak kurang mencengkam apabila suhu operasi tayar tersebut semakin panas dan apabila tunggangan agresif dilakukan. Sungguhpun saya sedar ini bukanlah satu tayar yang menumpukan prestasi pengambilan selekoh-selekoh tajam dengan kelajuan tinggi seperti sebuah motosikal sports, namun, ada jenama-jenama atau model-model lain yang mampu memberikan prestasi yang lebih baik daripada tayar standard ini. Ini sedikit sebanyak mengurangkan keseronokan penunggangan apabila tayar tidak dapat memberikan prestasi yang sama hebat dari sistem suspensi dan tujahan kuasa enjin yang begitu mengujakan.

Sewaktu dalam mode ‘Touring’, kedudukan penunggangan Desert X ini begitu selesa samada dari segi jangkauan lengan saya dari tempat duduk ke handel yang boleh dilaras sudut kecondongannya. Saya juga diberitahu bahawa, tahap ketinggian pelana juga boleh dilaras, namun saya masih yakin, walau di tahap paling rendah pun, ianya masih mempunyai ketinggian pelana yang agak tinggi.

TUNGGANGAN DI LALUAN ‘OFFROAD’.

Inilah tujuan sebenarnya motosikal ini dicipta. Kebolehan pengendalian yang baik di atas permukaan jalan yang berpasir dan tidak rata menjadikan Ducati Desert X ini cemerlang dalam elemen sebegini. Selain berkeupayaan untuk memilih untuk tidak menggunakan ABS, tahap bantuan penunggangan elektronik dibekalkan dengan 6 pilihan, yang mana 2 daripada pilihan ini adalah dikhususkan untuk penunggangan ‘off-road’ iaitu mode Enduro dan Rally. Anda boleh memadankan dengan tahap dan keselesaan penunggangan anda terutamanya dalam penghantaran kuasa enjin. Walaubagaimana pun, mode ‘sports’, ‘touring’, ‘urban’(penggunaan dalam bandar) dan ‘hujan’ tetap boleh dilaraskan dihujung jari anda.

Kapasiti tangki bahanapi 21 liter membolehkan anda menunggang dan menikmati keindahan alam semula jadi berjam-jam lamanya dan Desert X ini juga berkebolehan untuk dipasang tangki bahanapi tambahan sebesar 8 liter di bahagian ekornya.

Bantuan penunggangan Desert X ini turut membolehkan anda membuat pengawalan Cengkaman Roda (traction control), pengawalan kestabilan roda hadapan, pengawalan ‘engine braking’, penggunaan sistem brek ABS ketika dalam selekoh, sistem pertukaran pantas gear (Quickshifter – up & down) banyak membantu penambahan keseronokan ketika saya menunggangnya dalam laluan-laluan tanah merah di kawasan pendalaman. Namun begitu, anda perlu ‘belajar’ dahulu proses-proses penalaannya yang kesemua boleh dipilih atau dilaras pada meter digital TFTnya akibat terlalu ‘banyak’ pilihan yang perlu anda pilih pada ‘menu’nya. 

KESIMPULAN

DUCATI DESERT X, sebuah motosikal terbaru dari keluarga motosikal Italia yang begitu sinonim dengan jolokan “Ferari” untuk dunia motosikal, menjanjikan ianya dibuat dengan pengalaman, teknologi dan keupayaan pembuatan motosikal premium dunia.  

Dalam keadaan tahap matawang kita yang jauh lebih rendah daripada matawang Euro, tanda harganya sudah tentu lebih kurang sama dengan harga sebuah rumah teres dua tingkat terkini. Begitupun, anda membayar untuk gaya hidup, teknologi dan imej, sebuah jentera hebat dunia yang boleh anda dapatkan daripada ruang pamer Ducati Malaysia di Petaling Jaya.

Leave a comment

Trending