Terdapat 3 kelumpuk utama yang akan memilih jenama daripada Britain ini. Pertama: mereka yang menginginkan kelainan (tidak gemar jentera Jepun). Kedua: Kelumpuk yang meminati kereta/motosikal “continental” dan yang Ketiga: Kelumpuk yang meminati bunyi dan prestasi motosikal 3 selinder.

TRIUMPH tetap setia menggunakan variasi jentera 3 selinder selari, yang kini menjadi ikonik untuk jenama ini. Triumph Trident ini berkonsepkan ‘street’ atau ‘naked’ yang mana kini menjadi konsep utama model-model utama dalam pasaran mereka. TRIDENT melambangkan ‘manifold’ atau 3 batang ekzos yang keluar dari enjinnya menyerupai sebuah tombak bermata tiga atau dikenali juga sebagai TRISULA.

SENIREKA FIZIKAL
Pembaharuan yang dibuat untuk versi 2023 ini, lebih kepada sifat kosmetik. Penggunaan warna baru seperti sapphire black, matt baja orange, matt jet black, dan silver ice dengan diablo red ternyata dihasilkan untuk memberikan satu sifat moden dan terkini. Ini juga untuk menarik minat penunggang muda untuk beralih arah kepada jentera berkuasa pertengahan ini.

Tangki bahanapi TRIDENT pula dilihat sebagai bahagian utama untuk model ini menyerlahkan warna-warna hebat yang terbaru di pasaran ini, hanya berkapasiti 14 liter walaupun secara fizikalnya ia tampak besar. Namun terdapat ruangan pada tangki tersebut untuk mengepit peha penunggangannya lengkap di’alas’ dengan lapik getah yang menambah kredibiliti rekaan model ini.

Bahagian penghadang lumpur juga menggunakan rekaan ‘splash guard’ iaitu penghadang air/lumpur yang dipasang pada lengan ayun dan bukannya di bahagian bawah ekor seperti kebiasaan model-model yang lain, juga turut dilihat sebagai penarik.

Penggunaan handel berwarna hitam juga dilihat memberikan satu imej ‘garang’ dengan padanan tapak pemegang handle berwarna aluminium, memberikan kontras warna yang menarik. Begitu juga dengan penggunaan ekzos yang pendek dan berkedudukan di bahagian bawah motor, di antara dua roda.

Dari aspek rekaan lampu hadapan, gabungan elemen retro dapat dilihat pada bentuk lampu yang bulat, mengembalikan nostalgia terhadap model-model jalanan TRIUMPH dahulu yang menggunakan rekaan sedemikian. Namun untuk terus relevan dalam pasaran dan selera masakini, lampu TRIDENT ini dibahagikan kepada dua bahagian untuk suluhan lampu jauh (high beam) dan suluhan lampu biasa, serta dihiasi dengan lampu LED jenis DRL (daylight running lights) yang menghiasi bahagian luaran acuan dalamnya.

PENUNGGANGAN
Di sini saya agak sukar untuk merumuskan hasil ujian tunggangan yang telah saya lakukan. Ini adalah kerana saya mendapat hasil ujian yang bercampur aduk hasil daripada beberapa jenis tunggangan yang dilakukan.
TRIDENT ini dikatakan sebagai satu motosikal “urban”, atau fokus kegunaannya ialah untuk dalam bandar. Dari segi pengendaliannya, TRIDENT sangat lincah, ringan untuk dilibas ke kiri atau ke kanan, namun tidak terlalu ringan sehingga rasa seperti hendak ‘tumbang’, atau mudah ‘terkunci’ handelnya. TRIDENT membenarkan anda ‘menciluk’ di antara kenderaan pada waktu jalan sesak di ibukota, seolah-olah anda menunggang motosikal kapcai!!!

Namun, keseronokan pengendalian TRIDENT ini mula pudar apabila anda mula menunggangnya di lebuhraya-lebuhraya dalam bandar seperti DASH, NPE, SUKE atau DUKE. Penghasilan kuasa tujahan (pick up) untuk enjin TRIDENT ini agak sedikit mengecewakan. Jika dibaca pada brosur atau laman web rasminya, enjin ini sepatutnya memberi kuasa yang baik di tahap rendah ke tahap sederhana (low to mid range). Juga dalam laman web rasminya, bahawa penghantaran kuasa yang baik walau secara linear (julat naik mendatar).

Secara peribadi, hasil penghantaran kuasa tujahan TRIDENT ini agak lemah, dan kuasa dari tahap RPM rendah sehingga ke RPM tinggi agak lambat. Walaupun penggunaan sistem pendikit “throttle by wire”, dimana kawalan kuasa diuruskan oleh ECU (Electronic Control Unit), ternyata, dari segi penalaan standard, ianya agak lemah. Hanya pada kadar RPM yang tinggi, baru TRIDENT ini dapat menghasilkan kuasa enjin yang sedikit aggresif.
Sekiranya anda menjadi pemilik TRIDENT ini, “sesuatu” perlu dilakukan samada anda perlu menunggangnya seperti sebuah motosikal 2 lejang, iaitu keperluan untuk kerap menukar gear rendah untuk memberikan kuasa ketika diperlukan. Mungkin model ini sesuai untuk mereka yang baru sahaja menjinak-jinakkan diri dalam dunia motosikal berkuasa tinggi, tetapi bagi mereka yang sudah pun berpengalaman, TRIDENT ini bakal membosankan anda dalam masa yang singkat!

Perasaan sewaktu menunggang TRIDENT ini juga dirasakan agak tinggi pelanannya, seolah-olah anda berada di “atas” motor dan bukannya perasaan di “dalam” motor yang membolehkan anda merasa ‘bersatu’ dengan motosikal tersebut untuk memberikan keyakinan ketika mengambil selekoh secara agresif.
Tempat pemijak kakinya agak rendah dan faktor ini menyebabkan penunggangnya tidak mudah penat. Akan tetapi kedudukanya yang agak rapat dengan pemijak kaki pembonceng, sedikit sebanyak mengganggu perubahan kedudukan kaki untuk pengambilan selekoh dengan lebih efisyen.
KESIMPULAN
TRIUMPH TRIDENT 660, seperti yang saya katakan di awal huraian panduji ini, memberikan perasan bercampur aduk tentang sifat sebenar model ini. Dari satu segi, ianya sebuah motor yang agak selesa, tidak memenatkan, dan penghantaran kuasa enjinnya agak senang dikawal terutama untuk penunggangan baru. Namun, sekiranya anda seorang ‘rider’ yang lebih ‘serius’, anda pasti tidak menyukainya kerana tidak terdapat fungsi tambahan yang menarik seperti sistem penukaran gear tanpa menarik klac (quick shifter) yang telah menjadi satu kemestian untuk motor-motor baharu di pasaran. Tuas tangan untuk klac dan brek yang diberikan juga berwarna aluminium dan rekaannya agak lapuk, tidak menampakkan ciri-ciri ‘perlumbaan’.

Mungkin dengan harga kompetitif yang bermula daripada RM 45,900 tanpa cukai jalan, insurans dan kos pendaftaran, membolehkan anda untuk memasang aksesori-aksesori samada untuk penambahan prestasi enjin atau untuk menambah ‘kacak’ motor anda ketika parkir.
SPESIFIKASI
ENJIN
660cc 3 SELINDER (Euro 5 compliant)
KLAC
JENIS “Slip & assist”
KAWALAN KUASA DAN CENGKAMAN
PENDIKIT “Ride-by-wire” DENGAN KAWALAN CENGKAMAN BOLEH DI LARAS.
MODE ENJIN
2 KEUPAYAAN (JALAN RAYA DAN HUJAN)
SUSPENSI
HADAPAN: JENAMA Showa (JENIS TERBALIK)
BELAKANG: JENAMA Showa (JENIS TUNGGAL BOLEH LARAS PRABEBAN)
BREK
KALIPER BERJENAMA Nissin DENGAN KEUPAYAAN ABS
METER
SKRIN TFT DENGAN PELBAGAI KAWALAN FUNGSI
LAMPU
JENIS LED, LENGKAP DENGAN LAMPU SIGNAL OTOMATIK HENTI.







Leave a comment