BAHAGIAN 2

Jika pada bahagian yang lepas, kita telah mengenengahkan tentang rupa fizikal dan rekabentuknya, namun pada bahagian kali ini, kita akan membincangkan tentang pemanduan kenderaan SUV ini yang 100% menggunakan kuasa elektrik.

UJIPANDU PENGENALAN DI KUALA LUMPUR.

Sesi ini adalah sebagai ‘sesi suai kenal’ bersama media tempatan yang terpilih. Kami berjalan dalam satu kumpulan konvoi, dan melalui jalanraya-jalanraya utama yang sudah pastinya sesak dengan kenderaan lain. Begitupun, pada hemat saya, ujipandu ini terlalu terkawal, dan kami dibawa melalaui laluan-laluan yang telah dipilih terlebih dahulu oleh pihak penganjur. Begitupun, beberapa ujian ketara dapat saya lakukan dalam tempoh ujipandu yang sangat singkat itu.

Ternyata seperti kenderaan EV lain yang telah pun berada di pasaran, kuasa tujahan C40 ini hampir-hampir serta merta. Seolah-olah kenderaan terus bergerak sebaik sahaja pedal pendikit ditekan tanpa ada ruang masa tertunda (Lagging). Oleh kerana kami seperti di’iring’ oleh pemandu khas, maka kami tidak berupaya untuk menguji sensor-sensor yang dikatakan menjadi nadi utama di dalam bantuan pemanduan C40 ini. 

UJIPANDU DI GOTHENBURG, SWEDEN

Selain saya, beberapa para pengamal media telah terpilih untuk mewakili negara dalam satu jemputan ke Ibu Pejabat Volvo di Sweden. Berpeluang untuk menemuramah sendiri pegawai-pegawai atasan Volvo tentang matlamat dan produk terkini, serta memandu uji di jalanraya luar bandar Gothenburg, yang menampilkan seperti ‘jalan-jalan kampung’ yang lebih kecil dan tirus. Bentuk mukabumi kawasan luar bandar Gothenburg ini juga penting untuk menguji sendiri C40 di dalam pelbagai bentuk pemanduan.

Sensor LANE KEEPING AID, iaitu sistem sensor yang memastikan anda memandu dalam lorong yang betul dan tidak terkeluar daripada lorong yang sepatutnya, walau berfungsi dengan baik ketika dalam kawasan bandar, saya mendapatinya apabila memandu di jalan-jalan kampung, ianya seperti terkeliru. Saya merumuskan, sensor LKA ini menggunakan garisan kiri dan kanan jalan itu sebagai ‘penanda’ untuk membantu kenderaan ini berada di dalam kawasan selamat dalam lorongnya. Saya mendapati, di jalan-jalan ‘kampung’ tersebut ada sebahagian kawasan tidak mempunyai garisan putih pada tebing jalanraya. Ini menyebabkan dalam satu ujian saya, hanya ketika tayar C40 telah mula terbabas keluar daripada jalanraya, baru sensornya berbunyi memberi amaran.

Walaubagaimana pun, sensor REAR COLLISON WARNING (RCW) tidak mengecewakan apabila ada kenderaan yang terlalu mendekati di belakang, terdapat bunyi dan lampu isyarat yang memberi amaran kepada pemandunya.

Sensor-sensor bantuan pemandu sudah pasti ‘sarat’ dalam kenderaan secanggih ini, namun kebanyakan fungsi-fungsi ini terdapat dalam lain-lain kenderaan moden masa kini. Terutama untuk pemanduan dalam lebuhraya atau dalam pusat bandar yang memastikan kenderaan-kenderaan lain berada dalam jarak yang selamat daripada anda. Tetapi sejauh mana sistem-sistem keselamatan ini berfungsi sekiranya anda memandu dalam keadaan yang lebih ekstrim?

Volvo membawa kami menguji lagi C40 ini di atas permukaan tasik yang telah membeku di Kiruna, Sweden, yang mana kawasan ini adalah berada dalam LINGKUNGAN KUTUB UTARA (ARCTIC CIRCLE). Bersuhu -25°C, tasik yang dijadikan ‘litar panduji’ kami telah membeku setebal 5meter, dan membolehkan pemanduan dibuat di atasnya.

Tanpa menggunakan tayar yang khas untuk memandu di atas ais, hanya sekadar tayar yang dipasang seperti paku payung untuk membolehkan tayar tersebut memberi sedikit cengkaman. Begitu pun, kami telah diberikan sedikit latihan untuk memandu di atas ais dan bersedia untuk memulakan ujipandu.

UJIPANDU ATAS AIS

Apabila mula meningkatkan kelajuan, memandu mengikuti penanda-penanda laluan dalam keadaan berliku-liku tersebut sudah tentu membuat rodanya tersasar dan mula menggelincir. Ketika kejadian ini berlaku, saya mendapati, talipinggang keledar yang dipakai akan serta merta menarik kemas badan pemandunya. Saya difahamkan bahawa tindakan ini untuk mengelakkan pemandu / penumpang mengalami sentapan tengkuk atau kedudukan badan yang terkeluar daripada tempat duduk.

Perkara kedua yang terjadi ialah roda-rodanya yang bertindak seperti pacuan empat roda, berputar mengikut putaran yang sekata dengan pasangannya kiri dan kanan. Hanya dengan tindakan mengangkat pedal pendikit dan menekannya semula seolah memperbetulan kegelinciran tersebut untuk mendapat pergerakan pemanduan ke arah yang diinginkan sebelum tergelincir.

Kami juga digalakkan mencuba model elektrik yang sebelumnya, iaitu model XC40, yang mana struktur binaan model tersebut adalah sedikit besar dan lebih ke arah sebuah SUV untuk keluarga. Ternyata, XC40 lebih besar kegelincirannya akibat daripada sais fizikalnya yang lebih besar dan tampak lebih berat berbanding C40. 

C40 ternyata dapat memberikan pemandunya sedikit kelainan daripada perasaan memandu kereta SUV yang biasa dipasaran. Ternyata C40 ini lebih fokus, lebih jitu, dan lebih mengutamakan pemanduan yang lebih serius, ibarat sebuah kereta ‘sport’.

UJIPANDU DI MALAYSIA – PENGGUNAAN KENDERAAN ELEKTRIK DALAM DUNIA SEBENAR.

Sekembalinya ke tanahair, saya diberikan lagi seunit untuk memanduji C40 ini selama seminggu. Saya mengujinya sebagai seorang yang belum pernah ada kenderaan 100% elektrik ini dan sudah pasti daif tentang pengecasan, penggunaan dan jarak penggunaannya.

Ketika mengambilnya di Petaling Jaya, dan memandu pulang sejauh 42km, saya terpaksa menempuh sedikit kesesakan jalanraya dan melalui lebuhraya yang agak kurang kenderaan serta laluan jalanbiasa yang mempunyai lampu isyarat yang silih berganti.

Sebaik sahaja sampai di parkir apartment, kuasa baterinya telah berkurangan 15%. Saya mematikan kenderaan tersebut dan hanya menghidupkannya 2 hari selepas itu. Apabila menghidupkan kembali kenderaan tersebut, ianya MASIH di tahap 85% dan tidak menurun langsung walau tidak digunakan selama 2 hari. 

Terdapat banyak stesen-stesen mengecas di ibukota, termasuklah di parkir-parkir dalam kompleks membeli belah, selain stesen-stesen minyak utama sekitar ibukota. Laluan lebuhraya Utara-Selatan ternyata tidak menggusarkan pemilik EV kerana mempunyai stesen-stesen pengecasan yang agak mencukupi daripada kawasan utara seperti di Bukit Gantang, Perak, serta di Pulau Pinang juga terdepat beberapa pusat pengecasan. Sementara itu untuk kawasan Selatan, Negeri Sembilan dan Melaka turut menyediakan beberapa stesen pengecasan, dan bagi kawasan Johor, di mana jumlah yang lebih banyak telah tersedia. 

Walaubagaimana pun, untuk kawasan pantai timur, ianya masih kurang jumlahnya, namun saya pasti, ianya tidak akan berlarutan.

KESIMPULAN

VOLVO C40 ini dilabelkan sebagai sebuah SUV 100% elektrik yang termurah di pasaran iaitu RM 288,888 sebelum kos pendaftaran dan insurans. Menggunakan kenderaan EV sepenuhnya mungkin dalam masa sekitar 5 tahun ini memperlihatkan mungkin di kalangan orang berada dan berpendapatan tinggi. Namun harus diingat, memiliki sebuah telefon bimbit pada 15 tahun dahulu adalah sesuatu yang dikaitkan dengan orang kaya juga, tapi lihatlah sekarang. 

Tidak dapat tidak, teknologi akan terus berubah dan terserah pada kita untuk turut sama jadi sebahagian daripadanya atau kekal mundur.

Leave a comment

Trending