BAHAGIAN 1.

Volvo telah pun melancarkan model hybrid iaitu kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik dan juga bahanapi petrol sekali gus dalam tempoh dua tahun yang lalu. Namun Volvo mula memperkenalkan model elektrik sepenuhnya tahun lalu iaitu XC40 dan ianya mendapat sambutan yang sangat menggalakan dalam pasaran tempatan. Malah, jualan dalam negara kita melebihi penjualan daripada negara India. 

Volvo yakin dengan usaha mereka menghasilkan kereta-kereta elektrik sepenuhnya serta mensasarkan dalam rangka untuk menjadi syarikat kereta elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030, dan merancang untuk 75% daripada hasil penjualannya datang daripada rangkaian Recharge Pure Electric menjelang tahun 2025. Malah, Volvo turut menjangkakan jualan kereta akan terus menerus dibuat secara atas talian dan membolehkan pelanggan membuat pembelian dan membuat pembayaran dalam talian dengan selamat. 

Begitu pun, sejauh mana kebolehan dan prestasi sesebuah kenderaan elektrik mampu atau mungkin boleh mengatasi prestasi kereta-kereta konvensional yang dipacu oleh pembakaran bahanapi? Teknologi yang walaupun agak ‘kuno’ kerana telah digunakan selama ratusan tahun, tetapi adakah peralihan ini pasti akan terjadi atau pun hanya satu gimik dari pembuat-pembuat kenderaan dunia?

Satu faktor yang perlu anda ketahui ialah bahan bakar yang datangnya daripada minyak petrol itu adalah sesuatu aset lombongan yang pasti akan habis suatu hari nanti. Malah, pada waktu ini pun, harga pasaran minyak sedunia semakin meningkat setiap hari akibat daripada kekurangan bekalan minyak mentah dunia.

Peralihan pada kuasa elektrik dilihat sebagai satu jalan keluar yang masih lagi boleh memberikan nilai-nilai komersil kepada pengeluar kereta, pembekal tenaga dan sekali gus ianya bakal memberikan satu industri yang sama, walau pun sedikit kelainan terhadap pemilihan punca kuasa kenderaan.

Timbul pula soalan-soalan daripada pasaran tempatan yang rata-rata masih belum ketahui secara mendalam tentang penggunaan kereta elektrik ini. Infrastruktur (stesen pengecas kenderaan elektrik) masih lagi belum dapat dilihat secara menyeluruh dan lebih komersil, maka, Volvo ingin memastikan bahawa mereka mempunyai satu model yang pasti akan menarik perhatian daripada rupa bentuk fizikalnya, keupayaan dipandu sejauh (jika tidak lebih jauh) jarak yang boleh dilalui sebuah kenderaan konvensional (kuasa petrol), ketahanan bahagian-bahagian enjin/motor yang jauh lebih bagus daripada bahagian-bahagian enjin konvensional, serta sistem bantuan pemanduan dan pengendalian elektronik harus lebih baik daripada model-model yang telah berada di pasaran.

FIZIKAL

Volvo C40 secara umumnya adalah sebuah SUV (Sports Utility Vehicle – Kenderaan Utiliti Sukan). Namun dengan rekaan bumbungnya yang lebih menjunam pada bahagian belakang menjadikannya seolah-olah sebuah kenderaan sport atau coupe. Roda bersaiz 20 inci (sayang sekali, untuk pasaran tempatan, kita menerima kenderaan dengan roda saiz 19 inci), ternyata memenuhi ruang lengkungan wheel arch dan menjadikannya ia nampak lebih utuh. 

Melangkah pula pada bahagian hadapan, C40 ini sudah tidak lagi menggunakan grill yang terdapat pada kebanyakan kereta-kereta lain. Volvo bertindak “menutup” bahagian tersebut dan sekaligus memberi satu kelainan daripada pandangan arah hadapan. Melengkapkan rekaan anggun C40 ini, penggunaan spoiler berkembar atau pengimbas aruhan angin turut menambahkan sifat ‘garang’ serta tampak sebuah kenderaan yang serius.

Lampu hadapan C40 ini turut mengekalkan imej “Thor’s Hammer” yang menggunakan lampu DRL (Day Running Lights – Lampu Nyalaan berterusan) berbentuk huruf T dan melambangkan tukul kegunaan watak dewa Thor yang menjadi kepercayaan kaum Viking.

Buka pintu utama dan anda akan dihidang dengan kerusi-kerusi empuk dan tidak lagi melihat dibalut oleh kulit. Ianya menampilkan pengayaan daripada fabrik-fabrik, malah ada bahagian daripada dinding pintunya menggunakan fabrik kitar semula. Kesemua pemilihan material, dan konsep rekaan dalaman ini bagi memperkuatkan iltizam Volvo untuk menghasilkan sesuatu kenderaan yang bersepadanan dengan penjagaan alam sekitar termasuk haiwan-haiwan. Ini dilihat sebagai satu langkah bermewah tetapi bertanggung jawab terhadap alam.  Ini turut diperkuatkan lagi dengan rekaan pada bahagian dashboard hadapan yang menampakkan satu barisan corak-corak bersegi yang seakan-akan rekaan abstrak. Namun ianya sebenarnya adalah olahan semula sebuah peta topografi permukaan pergunungan bumi Sweden.

PRESTASI JENTERA

C40 ini jika ingin dibayangkan saiznya, ianya lebih menjurus kepada SUV seperti Honda CRV atau Proton X50 namun SUV kerdil ini mampat dengan instrumen-instrumen pengendalian dan serta prestasi rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya yang menghasilkan output sebanyak 408 kuasa kuda (hp) dan tork 660Nm. Figura-figura ini membolehkan ia memecut daripada 0 ke 100 km/j dalam masa 4.7 saat. Ia juga mampu bergerak sejauh 450km dengan sekali cas, dan turut menampilkan keupayaan mengecas sehingga 80% dalam masa 28 minit.

PERALATAN SISTEM HIBURAN DAN INFORMASI ELEKTRONIK

Memasarkan sebuah kenderaan elektrik sepenuhnya, harus dikatikan dengan dunia digital yang kini menjadi satu kebiasaan untuk semua penduduk dunia. Oleh itu, Volvo turut memaparkan papan peranti yang bertindak sebagai satu ekstensi daripada keperluan anda. 

Penggunaan sistem GOOGLE turut memainkan peranan besar samada sistem navigasinya yang menggunakan GOOGLE MAPS, GOOGLE ASSISTANCE untuk anda membantu anda mencari nama dan nombor telefon yang terdapat dalam alat peranti anda, serta mencari lokasi atau tempat-tempat yang ingin dituju dengan hanya memulakan arahan suara “HEY GOOGLE!”. Penggunaan GOOGLE PLAY membolehkan anda menggunakan aplikasi-aplikasi yang anda sering gunakan untuk tujuan hiburan dan sebagainya. Penggunaan GOOGLE ini merupakan satu sistem peranti yang ternyata menjadi kegunaan orangramai masakini dibawa terus ke dalam kabin kereta anda.

PEMANDUAN DALAM DUNIA SEBENAR

C40 ini di atas kertas, secara teorinya adalah satu kenderaan masa hadapan yang diperkenalkan kepada anda sekarang. Tetapi sejauh manakah kenderaan futuristik ini sesuai digunakan dalam keadaan pemanduan yang sebenar? Adakah sistem bantuan pemanduan elektroniknya benar-benar membantu pemandunya dalam pemanduan sebenar, atau hanya sekadar langkah pemasaran semata-mata?

Ikuti bahagian ke 2 minggu hadapan dimana panduji VOLVO C40 ini dibuat atas jalanraya kota Kuala Lumpur yang sesak dengan cuaca yang panas, panduji di jalanraya luar bandar di GOTHENBURG, SWEDEN, serta panduji ektrim di atas tasik beku di kawasan Lingkungan Artik (Kutub Utara), di KIRUNA, SWEDEN.

Leave a comment

Trending