Kebolehan melayari internet kini telah menjadi satu perkara yang umum dan ini menjadikan pasaran lebih terbuka dan informasi menjadi tanpa sempadan. Jika dikaitkan fakta ini dengan motosikal yang ingin kami perkenalkan untuk artikel hari ini, Hong Leong Yamaha, selaku pengimpot dan juga pengedar motosikal berjenama Yamaha di Malaysia, ternyata harus berdepan dengan permintaan dan desakan daripada pasaran yang lebih terkini, lebih berpengetahuan dan lebih berinformasi.

Ini adalah salah satu daripada fenomena tersebut. Yamaha Tenere 700 ini mungkin bagi mereka yang tidak memiliki minat yang mendalam untuk jentera dua roda, gagal mengenalpasti apakah punca ‘viral’ tentang jentera ini. Namun, sejak berita kemunculannya pada penghujung 2021, peminat (dan tidak kurang juga penjual motosikal tempatan) terus-terusan menghujani pertanyaan demi pertanyaan tentang tarikh kewujudannya dalam pasaran tempatan.

PENGENALAN

YAMAHA TENERE adalah satu unsur ‘jawab balas’ Yamaha kepada model HONDA AFRICA TWIN atau KTM ADVENTURE 790. Menyedari peralihan minat para pencinta dua roda kini lebih banyak tertumpu kepada model-model ‘adventure’ iaitu model motosikal yang tampak seperti sebuah motosikal lasak offroad, atau jenis dwi-guna. Yamaha Tenere mula diperkenalkan pada awal 80an dan inspirasi rekaan dan kegunaannya adalah berlandaskan kepada kejohanan lumba lasak Paris-Dakkar. Pelbagai keupayaan kapasiti telah diperkenalkan sepanjang kewujudannya di pasaran dunia dan saya juga telah beroleh peluang menunggang model yang dipanggil “super Ten” iaitu dengan enjin berkapasiti 1200cc ketika eksplorasi di New Zealan pada tahun 2018.

Ketika pengenalannya pada penghujung tahun 2021, saya menjangkakan ianya sebuah jentera yang berat dan sukar dikendalikan ketika di laluan “off road”. Saya juga menjangkakan ianya tidak akan diketahui ‘kehadirannya’ dalam pasaran oleh peminat tempatan. Ternyata, hasil tunggang uji yang telah saya lakukan, ianya bercanggah langsung samada dari segi pengendalian atau prestasi jentera, atau respon peminat terhadapnya.

PENUNGGANGAN

Prestasi penunggangan jentera ini sudah tentu harus diukur di atas permukaan jalanraya konvensional, samada jalanraya persekutuan atau lebuh raya. Kebetulan saya berpeluang untuk ke utara tanahair dan menggunakan peluang ini untuk menguji Tenere 700 secara total.

Menunggang di lebuhraya memang secara amnya memerlukan sebuah motosikal yang berkuasa dan stabil. Dari aspek penghantaran kuasa enjin, Tenere 700 ini bertindak cemerlang dalam kedudukan setiap gear. Kuasa tujahannya berfungsi dengan baik malah, jika anda dalam posisi gear ke 6 sekali pun, anda tidak berdepan dengan penghantaran kuasa yang tersekat atau tersenggut-senggut. Namun harus dinyatakan disini, penunggangan di atas lebuhraya bukanlah satu kekuatan model ini. Rekaan dan berat motosikal ini (lebih sedikit daripada 200kg), ternyata membuat jentera ini membuai-buai ditampar angin kencang terutama ketika melewati lori-lori besar. Begitu pun, prestasi jenteranya dalam penghasilan tahap kelajuan sangat-sangat memeranjatkan. Tenere 700 ini mampu mencecah kelajuan melebihi 200km/j atas laluan lurus (tertakluk kepada keberanian penunggangnya). 

Tetapi apabila melalui jalanraya persekutuan atau lebih seronok lagi apabila melalui lorong-lorong ‘tikus’ atau kawasan pendalaman/hutan/denai/estate, di sinilah kekuatan pakej motosikal ini dapat dirasai. Sistem suspensi hadapan dan belakangnya ternyata berfungsi dengan cemerlang, menyerap segala hentakan yang diberikan, kestabilan jentera di laluan tidak rata serta, keupayaan pengendalian handle yang dirasakan mudah dan ‘ringan’. Keupayaan ini ditambah dengan penggunaan handle bar yang lebar dan ‘mengepak’ serta saiz rim hadapan sebesar 21 inci.

Meter digital penuh T-7 ini ternyata ditampilkan dengan rekaan ‘feeling’ pengembaraan. Lengkap dengan informasi-informasi yang diperlukan untuk penunggangnya akan tetapi saya gagal mendapatkan informasi samada meter ini boleh dipadankan dengan sistem navigasi atau telefon bimbit anda. 

Anda tidak dipersalahkan sekiranya menjangkakan jentera ini tidak mampu bersaing dengan jentera-jentera ‘touring’ atau ‘sports’ ketika melalui jalanraya-jalanraya berliku tajam. Tetapi, kestabilan yang diperolehi dari sistem suspensi standard kilangnya, sangat-sangat mengujakan dan membolehkan anda mengambil selekoh-selekoh tersebut dengan efisyen pada kelajuan yang tinggi. Penggunaan tayar bercorak “off road” atau “rally” mungkin memberikan signal kepada penunggangnya yang motosikal ini tidak sesuai ‘dirempit’ atas jalanraya namun, tayar Pirelli Scorpion (depan: 90/90-21 dan belakang 150/70-18) yang dibekalkan sangat mencengkam pada apa juga keadaan permukaan jalan.

Rekaan lampu hadapannya juga agak unik serta penggunaan lampu-lampu LEDnya ternyata menepati keperluan penggunanya. Kecerahan dan suluhan lampu unik Tenere 700 ini tidak langsung mengecewakan ketika malam menjelang. 

KESIMPULAN

Jika anda telah membaca reviu ini sehingga ke perkataan ini, anda sudah tentu mendapati saya belum lagi mengkritik mana-mana bahagian atau prestasi motosikal ini. Agak sukar mencari kelemahan pada sesuatu yang ‘sempurna’. Jika ada pun, bahagian-bahagian motosikal ini yang ingin saya kritik, saya mungkin akan menyenaraikan pelananya. Pelananya agak dilengkapi span yang mencukupi untuk model seumpama ini dan membantu dalam penyerapan hentakan dan goncangan ketika melalui laluan denai-denai ‘offroad’. Akan tetapi, selepas penunggangan atas lebuhraya melebihi satu jam, punggung anda mula merasa tidak selesa dan kebas. Sekali lagi ingin dinyatakan, model ini bukanlah direka untuk ‘touring’ atau perjalanan jarak jauh, tetapi sekiranya anda terpaksa, anda mungkin harus lebih kerap berhenti rehat sepanjang perjalanan.

Tenere 700 ini menarik perhatian ramai. Dimana sahaja saya berada, ianya mampu menarik perhatian semua golongan. Rekaan kosmetiknya yang membuatkan peminat perlumbaan lasak teruja, kanak-kanak mula berimaginasi dan mengkaitkan rekaan fizikal motor ini dengan motor “kamen rider”, dan bagi mereka yang mungkin ‘tidak cukup’ ketinggian, merasakan ralat kerana Tenere 700 ini pasti membuatkan kaki ‘spesis’ ini tidak mampu capai ‘bumi’.

Pengimpot dan pengedar jenama Yamaha di Malaysia bakal berdepan dengan keluhan dan desakan yang lebih kuat/banyak lagi selepas artikel ini tersiar. Ini berdasarkan pertanyaan daripada orang awam ketika saya menampilkan foto dalam laman sosial milik saya sebelum ini, dan kebanyakan soalan atau statemen yang diajukan adalah “T-7 sudah dijual di Malaysia???”

Di Thailand, ianya dijual pada harga sekitar RM58 ribu dan di Filipina dikatakan dijual pada tanda harga RM52 ribu. Sekiranya HLY memasarkannya pada pasaran tempatan, ianya dipercayai dijual pada harga tidak kurang RM50 ribu. HLY mungkin inginkan lebih banyak kajian dalaman dilakukan oleh pihak pengurusannya kerana kekangan klasifikasi lesen, harga cukai jalan yang tidak kompetitif, serta kemampuan rakyat Malaysia. Atau adakah mungkin HLY sedang berusaha untuk menampilkan model yang lebih relevan pada pasaran tempatan atau pasaran Asia Tenggara, iaitu Tenere 250??? 

Jangan berhenti berdoa…

Leave a comment

Trending