Perodua dan kereta-kereta kompak seolah-olah sudah menjadi sinonim dalam pasaran. Ketika pembuat otomobil tempatan sibuk dengan model-model SEDAN, MPV, SUV, walau pun Perodua turut serta memberikan saingan dengan penghasilan model-model seumpamanya, namun, kereta-kereta kompak dari Perodua tetap menarik minat dan perhatian ramai.

KANCIL, KENARI, KELISA, MYVI, dan AXIA adalah nama-nama model yang dikenali oleh segenap lapisan masyarakat. Myvi kini seolah-olah sudah berada dalam peringkat yang lebih tinggi dengan penghasilan model yang berteknologi tinggi dan lebih sporty. Axia walaubagaimana pun, sebelum ini mungkin diklasifikasikan sebagai model yang paling kecil saiznya namun kehadiran AXIA 2023 ini telah mengikut jejak langkah MYVI dengan mempamerkan ciri-ciri โ€œkelas atasanโ€.

BERTEKNOLOGI DAN SPORTY
PERODUA menyedari terdapat golongan pencinta kereta kompak yang kalau dahulu, ingin membelinya sebagai kenderaan kedua dalam keluarga, samada untuk kegunaan sang isteri agar mudah bergerak dalam lingkungan 5-10km dari rumah (menghantar anak sekolah atau pun ke pasar), atau mungkin untuk kemudahan anak kesayangan anda yang kini menuntut di kolej atau universiti yang nun jauh daripada keluarga. Kini, wujud kumpulan yang menginginkan sesuatu yang lebih, samada dari segi bantuan pemanduan elektronik, sistem keselamatan, atau rupa bentuk yang sporty.

Model premium AXIA, varian AV (advance) merupakan model yang meletakkan harga RM49,500 tanpa kos insurans, cukai jalan dan pendaftaran. Pada awalnya saya agak terperanjat akan angka tersebut untuk sebuah AXIA. Harga tersebut sudah sangat hampir kepada harga jualan MYVI terkini. Apabila diteliti spesifikasi AXIA AV ini, sekali lagi saya dikejutkan kerana sistem bantuan pemanduan elektroniknya yang hampir sama dengan kereta-kereta mewah di pasaran sebelum ini.

RUPA FIZIKAL
Mengenal pasti selera berbeza individu, saya walaubagaimana pun, mendapati rekaan baru AXIA ini ternyata jauh lebih menarik daripada model sebelumnya. Untuk varian AV, ternyata sudah hampir memenuhi kehendak seorang pemandu yang serius (kecuali mungkin keinginan menukar rim sukan yang lebih menarik). Pemilihan bumper hadapan, lampu hadapan lengkap dengan DRL, spoiler yang tidak keterlaluan, malah, rekaan roda sukannya juga boleh diterima sementara pemiliknya belum tergoda dengan rekaan โ€œsport rimsโ€ yang terbaru di pasaran.

Masuk saja ruang kabin di dalam, saya dapat merasakan bahawa ini bukan AXIA yang pernah saya cuba beberapa tahun dahulu. Keselesaan, keluasan dan suasana dalam kabin ternyata seperti dalam sebuah MYVI. Ruang yang agak luas, tempat duduk yang menampilkan rekaan โ€œsemi bucket seatโ€ untuk bahagian hadapan. Tambahan pula, faktor yang paling menarik bagi saya ialah apabila penggunaan fabrik dan kulit yang digabungkan dalam rekaannya. Kebanyakan daripada pembekal kereta di Malaysia masih menyangkakan penggunaan kulit sepenuhnya adalah satu simbol eksklusif dan premium. Saya kerap kali menyangkal dakwaan ini kerana sebab utamanya kita dalam negara tropika yang sudah tentunya panas terik adalah fenomena harian. Penggunaan kulit sebagai penyalut tempat duduk adalah sangat tidak relevan apabila saat-saat pemandu/penumpang memasuki kereta yang telah berjemur berjam-jam di bawah matahari khatulistiwa. Saya sangat mengalu-alukan pendekatan PERODUA dalam model AXIA AV ini apabila melakar satu status baru dalam produk premium iaitu dengan penggunaan dan rekaan seperti kereta-kereta Eropah yang tidak lagi menganggap menyalut tempat duduk dengan kulit 100% itu sebagai satu symbol kemewahan atau eksklusif.

SISTEM BANTUAN PEMANDUAN ELEKTRONIK
Inilah antara sebab utama kenapa saya katakan AXIA AV 2023 ini bukan lagi sekelas dengan AXIA sebelum ini. Dibekalkan dengan 6 beg udara keselamatan (varian AXIA yang lain hanya 2), berserta dengan sistem-sistem bantuan elektronik seperti berikut:
-Sistem brek ABS.
-Kawalan kestabilan kenderaan (Vehicle Stability Control)
-Kawalan Cengkaman roda (Traction Control)
-Sistem amaran Pemberhentian Kecemasan (Emergency Stop Signal)
-Bantuan Menghidupkan Enjin di permukaan curam (Hill-start Assist)
-Bantuan pemanduan (Smart Drive Assist)


A. Bantuan Keselamatan (Advance Safety Assist)

1.Amaran pra-perlanggaran

2.Pemberhentian pra-perlanggaran

3.Pengawalan kesilapan kawalan pedal pendikit

4.Amaran pergerakan kenderaan di hadapan

B. Bantuan kecekapan pemanduan

i) Amaran Tersasar laluan

ii) Halangan pensasaran dari laluan.

iii) Monitor bahagian terlindung (blind spot monitor).

C. Bantuan Parkir (Parking Assist)

a.Amaran Kenderaan melintas di bahagian belakang

b.Kamera belakang

c.Sensor sisi hadapan

d.Sensor belakang

D. Bantuan Suluhan Lampu hadapan (Headlamp Assist)

-Suluhan tinggi secara otomatik dan kembali ke suluhan asal apabila dikesan kenderaan di hadapan.

KESIMPULAN
Fakta penawaran berbanding permintaan jelas mempengaruhi penghasilan model terbaru PERODUA AXIA ini. Kematangan dalam hal memilih dari peratusan besar pasaran memainkan peranan dalam model-model terbaharu yang muncul. Pembeli kini sanggup โ€œmembayar lebihโ€ untuk tambahan sistem bantuan pemanduan dan keselamatan elektronik, namun belum tentu ingin โ€œterlebih bayarโ€ terhadap model-model kenderaan import dan berstatus mewah.

Walaubagaimana pun, saya agak kecewa apabila sistem bantuan pemanduan elektronik (PERODUA SMART DRIVE ASSIST) tersebut hanya dihadkan kepada model AV semata-mata. Model-model SE, X dan sudah tentulah model basic (G) tidak dilengkapi dengan sistem ini. Alangkah lebih elok sekiranya hanya sekadar aksesori seperti sistem hiburan, paparan meter atau pun kemasan dalaman seperti rekaan tempat duduk sahaja yang dihadkan.

Ini menyebabkan saya menyarankan agar bakal pembeli baru nanti, berbelanjalah lebih sedikit untuk membeli varian AXIA AV kerana perbezaan hampir RM10,000 di antara varian G (paling asas) dengan AV (premium), dapat disebarkan dalam pelan pembayaran bulanan anda. Namun, bantuan-bantuan pemanduan elektronik ini sudah menjadi kemestian pada zaman ini.

Leave a comment

Trending