Pakej ini terhad kepada 200 unit dan hanya tersedia kepada pembeli model Proton X50
Flagship Subang Jaya.

28 Oktober 2023 – Berikutan kemunculan pertamanya di MARii Autoshow 2023 pada
bulan Mei tahun ini, pengeluar kereta nasional PROTON kini telah mengesahkan harga pakej aksesori Edisi Ulang Tahun ke-20 R3 untuk Proton X50 pada sambutan X50 Karnival di ‘Proton Centre of Excellence’ pada hari ini.

Direka untuk meraikan dua dekad jenama R3, pakej ini terdiri daripada pelapis vinil hitam satin, aerokit R3 rekaan khas (skirt hadapan, belakang dan sisi), jalur bonet R3, spoiler bumbung belakang bergaya, rim aloi ringan 18” R3, Logo gril hadapan R3, plat nama belakang edisi terhad R3, serta plat nama papan instrumen dalaman, sulaman pada kepala kerusi R3 untuk pemandu dan penumpang hadapan, serta tikar R3 dan tinted tingkap Proton.

Terhad kepada 200 pakej dan hanya tersedia kepada pembeli Proton X50 1.5 TGDi berwarna jet grey, pakej aksesori Edisi Ulang Tahun ke-20 R3 ini dijual pada harga RM12,000 termasuk pemasangan, dan boleh ditempah dari mana-mana cawangan Proton. Penghantaran akan bermula dari pertengahan bulan November.

“Seiring dengan sambutan ulang tahun syarikat ke-40 tahun pada tahun 2023, ini adalah peluang yang tepat bagi PROTON untuk mengiktiraf beberapa pencapaian kami yang lain. R3 telah sebati dengan kejayaan Proton dalam arena sukan permotoran serta pembangunan model lain dengan prestasi luar biasa untuk pelanggan kami yang merupakan peminat pemanduan.”

“Hari ini, jenama R3 kekal popular di kalangan peminat Proton yang telah menunjukkan sokongan mereka dengan membeli produk jenama R3 dan minyak pelincir yang dirumus khas. Kami bersyukur atas semangat mereka dan ingin memberi ganjaran kepada mereka dengan pakej aksesori ini yang telah dibangunkan khas untuk model SUV Proton yang paling popular,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.








Leave a comment