Le Meridien Petaling Jaya, Jumaat 12 Januari 2024 – MODENAS telah melancarkan sebuah skuter berkuasa tinggi dan premium untuk pasaran tempatan.

Para peminat skuter tempatan mengetahui akan kewujudan skuter ini bagaimanapun sedikit kecewa kerana ianya dipasarkan sebagai unit import sepenuhnya (CBU) dan bukannya sebagai unit pasangan tempatan (CKD).

Sekali gus, ini memadamkan impian para pencinta skuter untuk melihat harga jualan di sekitar lingkungan RM50 ribu seunit terutama selepas MODENAS mengumumkan harga pasarannya iaitu RM65,600 tanpa kos cukai jalan dan pendaftaran.

Kymco AK550 merupakan sebuah skuter 550cc yang menggunakan enjin 2 selinder DOHC 8V yang dikatakan responsif. Menghasilkan 53HP dan dijanjikan memberi kuasa penghantaran yang sempurna untuk perjalanan jarak jauh.

Didatangkan dengan dwi pilihan untuk mod enjin iaitu “Mod Kuasa” dan “Mod Hujan”. Pilihan ini membolehkan penunggangnya memilih tujahan kuasa yang bersesuaian berpandukan cuaca dan keadaan sekelilingnya.

Antara aspek skuter ini yang menarik perhatian umum adalah penggunaan kaliper brek BREMBO yang sudah tentu mengangkat kebolehan memberhentikan kenderaan ini dalam apa jua keadaan jalanraya, malah sudah tentu ‘mengangkat’ harga jualan seunit untuk skuter ini. Ditambah pula dengan penambahan sistem sensor pemberhentian sewaktu menyendeng ketika dalam pengambilan selekoh. Sistem AIBS ini juga dirasakan sebagai salah satu sistem keselamatan yang ‘mengangkat’ nilai harga pasarannya.

Adakah dengan kehadiran KYMCO AK550 akan dikatakan sebagai saingan kepada YAMAHA TMAX, HONDA XADV atau pun SYM TL500? Anda sebagai penggunalah yang bakal menentukan samada faktor jenama atau harga yang menjadi sebab utama anda membelinya nanti.

Leave a comment

Trending