KUALA LUMPUR, 19 JAN 2024 – Hong Leong Yamaha Motor (“HLYM”) dengan bangganya memperkenalkan Y16ZR untuk versi 2024.

Y16ZR dipasarkan dengan rupa fizikal yang lebih agresif dan sporty. Manakala penambahan sistem keselamatan dirasakan sebagai peningkatan utama untuk varian ini. Penggunaan Anti-lock Braking System (ABS) dan cakera brek yang lebih besar di bahagian hadapan, menjanjikan suatu tahap pengawalan pemberhentian yang terbaik dalam kelasnya.

Ketika majlis perlancaran, Professor Dato’ Dr. Jim Khor Mun Wei, Pengarah Urusan Kumpulan HLYM mengatakan, “Inilah kali pertama perlancaran model baharu secara terus dengan orang awam dan kami yakin, Y16ZR 2024 ini bukan sahaja mempunyai ketrampilan gaya yang paling ranggi, tetapi mempunyai teknologi keselamatan penunggangan yang paling baik dalam kelasnya.”

Yamaha Y16ZR 2024 ini mengekalkan enjin berteknologi sejukan cecair 4-lejang, 4-injap, SOHC 155cc dengan Variable Valve Actuation (VVA). Jentera ini turut dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan, mampu menghasilkan 17.7 hp @ 9,500 rpm dan tork maksima 14.4 Nm @ 8,000 rpm.

Y16 ini juga dilengkapi dengan sistem klac SLIP & ASSIST yang melancarkan pergerakan pertukaran gear tinggi atau rendah.

Turut menarik perhatian ialah skim warna baru untuk 2024 iaitu: Violet Knight, Ocean Neon, dan Mag Grey. Unit-unit boleh didapati di wakil penjual sah Yamaha berhampiran anda bermula akhir Januari pada harga jualan RM11,398 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans). Pengunci/mangga cakera brek juga dikhaskan untuk pembelinya (bernilai RM100).

Leave a comment

Trending