
Hong Leong Industries Berhad (“HLI”) merungkaikan iltizam terbaharunya, Tekhne Sdn Bhd (“TÉKHNĒ”) – satu langkah yang signifikan ke dunia alat ganti automotif yang dinamik. Iltizam ini menonjolkan komitmen HLI terhadap inovasi, kualiti, dan juga kepuasan pelanggan.

TÉKHNĒ memasuki pasaran dengan produk-produk Pengilang Peralatan Asal (OEM) serta Pengilang Peralatan Ganti (REM) yang komprehensif bagi jentera beroda dua dan empat, dirumus untuk memenuhi pelbagai keperluan pengguna. Mendukung prinsip ‘Moving the Future’, TÉKHNĒ mencerminkan dedikasi untuk merintis kemajuan dalam industri automotif.

Profesor Dato’ Dr. Jim Khor, Pengarah Urusan Kumpulan HLI meluahkan perasaan bangga dan keterujaan beliau di majlis pelancaran berkenaan dengan menyatakan, “Langkah kami ke industri alat ganti automotif bukan sahaja mencerminkan dedikasi kami ke atas inovasi dan perkembangan berterusan, tapi juga komitmen padu kami ke atas para pelanggan menerusi standard kualiti dan kebolehpercayaan yang tertinggi. Dengan TÉKHNĒ, kita mengorak sebuah haluan yang kaya dengan aneka peluang, mengendong matlamat untuk merintis kemajuan dalam arena teknologi dan reka cipta, sambil menjamin prestasi dan keselamatan kenderaan yang optimum demi kejayaan kita bersama.”

Pasaran bagi alatan OEM dan REM untuk kegunaan jentera beroda dua dan empat di Malaysia sedang menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan dan diunjur mampu berkembang lebih jauh, didorong oleh faktor-faktor seperti peningkatan jualan kenderaan, permintaan ke atas servis pasaran sekunder (aftermarket), serta peningkatan bilangan perusahaan dalam pasaran produk automotif. Nilai tambah dalam pasaran produk automotif di Malaysia dijangka mampu mencecah US$8.32 bilion pada tahun 2024, dengan jangkaan kadar pertumbuhan tahunan berkompaun (CAGR) berjumlah 5.71% dari 2024 hingga 2028. Di samping itu, jualan kereta terpakai di Malaysia juga sedang meningkat secara konsisten, menyumbang kepada pertumbuhan industri servis pasaran sekunder automotif, yang mencerminkan permintaan yang kian meningkat ke atas alat-alat ganti.

Pengurus Besar TÉKHNĒ, En. Chong Chee Kong memberitahu, “Di TÉKHNĒ, komitmen kami adalah untuk membekalkan produk-produk premium yang dirumus untuk memenuhi keperluan para pelanggan kita di Malaysia. Menerusi kerjasama dengan rakan-rakan yang penting, di peringkat tempatan dan juga antarabangsa, kami memastikan produk TÉKHNĒ memenuhi standard kecemerlangan dan kepuasan pelanggan yang tertinggi. Bagi masa hadapan, kami bersedia untuk melebarkan sayap ke rantau ASEAN dan seterusnya menembusi pasaran global.”

Komitmen TÉKHNĒ terhadap inovasi turut dibuktikan melalui rancangannya untuk menceburi perniagaan produk-produk yang berkaitan dengan kenderaan elektrik, berjajaran dengan peralihan industri ini ke arah solusi-solusi mobiliti lestari. Untuk menerapkan inovasi, TÉKHNĒ juga bersedia untuk mengasaskan pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) miliknya sendiri, membidik untuk merintis kemajuan dalam arena teknologi dan reka cipta sambil mendukung standard kualiti dan kebolehpercayaan yang tertinggi.









Leave a comment