
Perlumbaan dan perniagaan yang bermula dengan semangat dan harapan yang baru, sempena tahun baru 2024.
Nama YY Pang tidak dapat di pisahkan daripada perlumbaan motosikal tempatan. Samada sebagai seorang pelumba, mahupun pemilik pasukan lumba motosikal yang telah mewarnai kejohanan CubPrix atau pun Kejohanan Asia Road Racing. Penglibatan beliau bersama MCP yang lebih 3 dekad dan kerjasama dengan Yamaha lebih daripada 40 tahun, menggambarkan betapa “gah” namanya.

Mengumumkan penglibatannya dalam Kejohanan Petronas Malaysian Cub Prix untuk musim 2024, YY Pang bersama penaja utama yang telah mula menyokongnya sejak beberapa musim yang lepas iaitu JETRON, sebuah syarikat tempatan yang membekal dan memasarkan minyak pelincir khas untuk motosikal. Maka untuk musim 2024 ini, pasukan ini kekal dengan nama rasminya iaitu Pasukan JETRON YAMAHA YYPANG RACING. Pasukan YY Pang ini turut ditaja oleh beberapa jenama baru dan lama iaitu YISB, MCS, Wossner, TIMSUN, TOBAKI, RCB, KYT, KEELAT DIDD, BRISK I-LD, NASTY PORT FLOW, dan VITRON.

YY PANG atau lebih mesra dikenali sebagai “SIFU” dalam komuniti perlumbaan tempatan dan Asia, mengatakan bahawa beliau amat berbangga dengan pencapaian pasukannya secara keseluruhan pada musim lepas terutamanya dalam kategori CP125. Walaupun mendapat tentangan yang hebat untuk musim tersebut, prestasi hebat tetap dipersembahkan untuk memastikan kedudukan pasukan kami kekal di tangga tiga teratas.


Sehubungan dengan itu, pasukan lumba Jetron Yamaha YYPang telah mengumumkan barisan pelumba yang akan menyertai sukan permotoran terulung tempatan, iaitu Md Idil Fitri Mahadi akan meneruskan persaingan di kategori CP150 bersama Md Fareez Afeez yang akan dinaikkan kelas dari kategori CP125 pada musim lepas. Fareez yang memulakan karier perlumbaan ini bersama pasukan elit FELDA RACING TEAM pada tahun 2014 yang lalu.

Sementara itu, seorang lagi pelumba yang turut memberi saingan dalam kategori CP150 ialah pelumba Md Aiman Tahiruddin, sebagai pelumba baru pasukan tersebut.
Meneruskan kecemerlangan dan mempertahankan kejuaraan CP125 mereka, barisan pelumba mereka pula terdiri daripada Md Khairi Ashraf (Juara bertahan), Md Shafiq Ezzariq (Naib Juara) dan diperkuatkan dengan pelumba baru, Abdullah Qayyum Razak.
YY Pang yang turut merasmikan pusat operasi baharu mereka di Bukit Jelutong, setelah beroperasi selama 25 tahun di Sri Muda, Shah Alam. Beliau berazam untuk menjadikan pusat ini sebagai ‘one stop centre’ untuk para pelanggan mereka, iaitu sebagai pusat pameran, pusat servis, gudang dan juga bahagian sukan permotoran. Adalah diharapkan ianya dapat memberikan pelanggan-pelanggan suatu kemudahan yang dapat mempercepatkan proses pembelian motosikal, alat-alat ganti, aksesori dan servis motosikal, semuanya di bawah satu bumbung.

Penempatan semula ini sememangnya dianggap sebagai satu perubahan yang agak besar, memandangkan bahawa mereka terpaksa melalui satu keadaan yang sangat sukar apabila menjadi mangsa banjir besar yang telah berlaku di kawasan Sri Muda, tidak brapa lama dahulu.



Menurut Penyelaras pasukan dan pengurus besar, Gary Pang, “Melalui tempat yang lebih kondusif, saya percaya kami dapat berusaha meningkatkan mutu dan kualiti produk dan servis kami.”

Kami mengucapkan semoga berjaya dalam kancah perlumbaan dan perniagaan dalam musim dan tahun 2024 ini.








Leave a comment