
Kuala Lumpur, Malaysia – Great Wall Motor Malaysia (GWM) dengan bangganya mempersembahkan kenderaan elektrik terbaru mereka iaitu GWM ORA 07, pada 4hb Mac 2024, bertempat di Raw Studio, Kota Damansara. ORA 07 ini disifatkan sebagai keluaran terulung dalam barisan model-model GWM 2024, mendahului model Haval H6 HEV yang dijangkakan akan diperkenalkan pada suku tahun ke 2 dan Tank 300 pula pada suku ke 3 tahun 2024 ini.

GWM ORA 07 ini, sejenis model Coupe berkuasa elektrik sepenuhnya, mencuri tumpuan para pencinta otomotif dengan rekaannya dinamik dan elegant. Ianya merangkumkan rekaan retro dan moden secara harmoni, disamping mengenengahkan rekaan jeriji yang tertutup dan lampu hadapan yang berbentuk bulat, mencerminkan sebuah kenderaan rekaan retro tetapi di dunia yang futuristik. “ORA 07 ini juga boleh dikatakan sebagai satu kehebatan senireka visual yang seiring dengan kehebatan teknologi kenderaan elektrik”, ujar Mencius Meng, Direktor Penjenamaan GWM.

ORA 07 ini juga mempunyai imbasan sebuah kenderaan “fastback” , yang turut menampilkan tombol pintu yang “tersembunyi”, pintu “frameless” dan ‘spoiler’ atau pengimbas aruhan angin yang berfungsi secara elektronik, menguatkan lagi keberadaannya sebagai sebuah kereta ‘sports’. Berukuran panjang sebanyak 4871mm , 1862 mm pada ukuran kelebaran, dan 1500 mm pada ukuran ketinggian, menjadikan kenderaan ini begitu tegap tersergam.

Melangkah masuk ke dalam kabin, bahagian papan pemukanya menyerupai sebuah kereta berprestasi tinggi, lengkap dengan balutan kulit premium, konsol tengah yang mempunyai rekaan berbentuk “T” serta mempunyai tombol-tombol yang bertrampilan menarik. Begitu juga dengan kerusi-kerusi yang dipasang selain menampakkan imej sporty, ianya juga lengkap dengan fungsi urutan (untuk pemandu dan penumpang hadapan sahaja). Ini sekaligus meletakkan satu tahap yang unggul untuk kenderaan ini. Malah, rekaan sterengnya turut memberikan satu rekaan yang unik lengkap dengan pelbagai tombol bantuan pemanduan yang diperlukan.



GWM ORA 07 turut dilengkapkan lagi dengan rekaan mewah bahagian kabin dalamannya, sambil ‘sunroof’ jenis panoramik turut menambah kehebatan kenderaan ini.

Dipasarkan dengan warna kelabu unggul, ungu dan putih, ORA 07 mengajak para pencinta mobil memilih kekuatan yang manakah diinginkan. Pilihan antara varian yang mampu mencapai jarak pemanduan yang jauh dengan sekali pengecasan atau prestasi kelajuan kenderaan yang hebat. GWM ORA 07 dikuasakan oleh bateri lithium 83.499 kwh terkini. Untuk versi pemanduan jauh, ianya mampu mencapai 640 km dari kuasa penuh bateri, menghasilkan 150 kW (204 PS) kuasa, 340 Nm tork. Sementara varian prestasi kelajuan pula menghasilkan 300 kW (408 PS) dan 680 Nm tork, dann mampu mencapai jarak 550km dari kuasa penuh baterinya.

Dari aspek keselamatan pula, “Komitmen kami terhadap setiap aspek keselamatan model ini, melalui keupayaan teknolgi inovatif dan kebijaksanaan sistem operasinya.” tambah Raymond Cheong, Pengurus Pemasaran GWM. Mengharungi pelbagai tahap panduji yang menyerluruh, termasuk ujian yang baru dikendalikan di negara China, iaitu ujian gulingan dan hentaman di persimpangan yang sememangnya seperti senario kemalangan sebenar terutamanya waktu pemanduan dalam keadaan hujan.

Lengkap dengan sensor-sensor yang canggih, kamera segenap sudut dan sangkar dalaman seperti sebuah jentera lumba yang turut memperkuatkan casis, GWM ORA 07 meletakkan standard yang begitu tinggi, serta lebih menjamin pemanduan yang selamat dan seronok.

Pengenalan GWM ORA 07 ini menandakan permulaan perjalanan GWM ditahun 2024 yang mana akan diikuti oleh perlancaran GWM Haval H6 dan GWM Tank 300. GWM memperkukuhkan lagi keberadaannya dalam pasaran otomotif tempatan.








Leave a comment