SYM HUSKY 150 & MAXSYM TL508.

SYM Malaysia mengumumkan kehadiran dua model terkini mereka untuk tatapan para media permotoran dan pencinta-pencinta motosikal.

Model pertama ialah HUSKY 150 iaitu sebuah skuter adventure dan rugged, yang turut mengikuti jejak langkah beberapa model sepertinya dalam pasaran tempatan.

Menggabungkan rekaan yang futuristik, disamping mempunyai imej lasak dan kental, Husky 150 ini didatangkan dengan penyerap hentakan belakang tunggal yang bukan sahaja tampak sporty tetapi turut memberikan keimbangan dan membantu menambahkan kebolehan pengendalian.

Turut memaparkan meter digital sepenuhnya, Lampu hadapan dan belakang LED, lengkap dengan DRL (Daytime Running Lights), penghidup enjin tanpa kunci (keyless) serta sistem brek ABS lengkap dengan TRACTION CONTROL.

Seperkara yang tambah menarik tentang HUSKY 150 ini ialah ianya mempunyai kapasiti tangki bahanapi sebesar 15 liter. Kami rasakan, inilah skuter 150cc yang mempunyai kapasiti bahanapi yang terbesar dalam kelasnya.

Dipasarkan dengan dua variasi iaitu EDISI BIASA dan ISTIMEWA iaitu hanya perbezaan daripada skim warna sahaja. Versi biasa akan dijual pada harga asas RM9,998 sementara versi istimewa pada harga RM10,298 sebelum caj cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Beralih kepada satu lagi model skuter yang telah dilancarkan dalam majlis yang sama, MAXSYM TL508. Model ini adalah kesinambungan pada model yang lepas, TL500 yang mula dipasarkan pada tahun 2020 yang lalu.

Secara kasarnya, model penambahbaik ini dipertingkatkan dengan penambahan kapasiti kuasa enjinnya iaitu dari 465cc ke 508cc.

Enjin dua selinder berkembar selari tersebut memberikan bunyi yang sangat mengujakan pada corong ekzosnya ketika dihidupkan menjadi igauan peminat-peminat skuter maxi.

Walaubagaimana pun, kapasiti tangki bahanapinya tidak mendapat naik taraf dan hanya berukuran 12.5 liter sahaja. Berbanding dengan kebanyakan skuter lain yang rata-rata disertakan dengan saiz tangki yang sekurang-kurangnya 14 liter.

Dipasarkan dengan harga RM46,888 dan diberi pilihan skim warna Indigo Blue, Storm Grey dan Jet Black. Anda boleh mendapatkannya di ruang-ruang pamer pengedar SYM bermula Mei 2024.








Leave a comment