Khamis, 25hb April 2024. Ducati Riding Experience (DRE) menjadi satu acara yang sering dinanti-nantikan oleh pemilik dan peminat motosikal DUCATI.  DRE ini adalah satu acara yang mana Pembuat, Pengedar dan Penjual motosikal hebat daripada Itali, ‘menghadiah’kan para pemilik, peminat dan penyokong tegar Ducati, kursus dan tunjuk ajar menunggang dengan cara lebih efisyen, lebih optima dan yang paling utama, dengan lebih keselamatan.

Kursus-kursus DRE ini terbahagi kepada 3 jenis kursus yang utama, penunggangan dalam litar (Track Academy), atas jalanraya (Road Academy) dan Dwi-Guna (Adventure Academy).

Bertempat di GAMUDA GARDENS RAWANG, para Media Permotoran dan KOL/VLOGGER jemputan diberi peluang untuk merasai sendiri silibus-silibus teknik penunggangan yang diajarkan kepada para peserta kursus. Beberapa bulan yang lalu, saya berpeluang untuk turut serta dalam sesi Track Academy di litar Antarabangsa Sepang. Kini saya berpeluang sekali lagi untuk menyertai sesi Road Academy pula.

Kursus pada kali ini disampaikan sendiri oleh HAIZAL OMAR, KEVIN LEE dan AHMAD NADZREY yang mewakili DUCATI MALAYSIA. Terbahagi kepada 2 bahagian utama iaitu, teori dan juga praktikal.

Sesi teori dijalankan dalam kelas dan kebanyakan topik yang disampaikan adalah perkara-perkara umum yang pastinya diketahui oleh ramai penunggang motosikal, tetapi tidak dipraktikkan atau diambil mudah.

Setelah selesai sesi teori, para peserta kursus dibawa ke ruang penunggangan praktikal, untuk merasai sendiri laluan-laluan teknikal yang disediakan. Kepelbagaian laluan dan halangan kon diatur sebagai simulasi keadaan jalanraya sebenar yang merangkumi bulatan, pengemudian kiri dan kanan termasuk latihan penggunaan brek depan dan belakang berpadanan dengan sistem ABS yang terdapat pada model-model DUCATI.

Sebagai pengakhiran, kesemua para peserta dianugerahkan sijil penyertaan dan yang lebih diharapkan adalah para peserta mempergunakan sebaik mungkin ilmu teori dan pengalaman praktikal yang berjaya diperolehi daripada acara hari ini.

Leave a comment

Trending