• e.MAS akan digunakan untuk semua model EV Proton yang bakal diperkenalkan
  • 17 pengedar diumumkan sebagai kumpulan pertama menyertai rangkaian jualan EV Proton

Subang Jaya, 12 Jun 2024 – Jenama kereta nasional PROTON hari ini mengambil satu lagi langkah dalam
evolusinya sebagai pengeluar kenderaan dengan pelancaran rasmi jenama EV baharunya. Jenama baharu itu akan dikenali sebagai e.MAS dan bakal digunakan pada model EV (kenderaan elektrik) Proton akan datang.

Sebutan bagi jenama e.MAS adalah abjad ‘E‘ digabungkan dengan perkataan ‘MAS’. Akronim itu bermaksud Electrifying Malaysia, dan mengahwini simbol ‘e’ untuk menandakan EV bersama-sama dengan singkatan MAS yang digunakan secara universal untuk negara kita. Nama itu juga mewakili matlamat PROTON untuk meningkatkan mobiliti rakyat Malaysia dengan model EV baharunya.

Untuk mengaitkan jenama e.MAS kepada PROTON, logo yang digunakan menampilkan paparan kepala harimau
‘tidak berkurung’ secara reka bentuk 2D yang selaras dengan aliran reka bentuk semasa untuk jenama EV yang
cenderung kepada grafik yang lebih bersih dan kurang rumit. Ia juga mengikatkan jenama baharu itu kepada logo PROTON yang menggunakan paparan yang sama tetapi pada format 3D untuk melambangkan syarikat bergerak
ke hadapan ke arah kejayaan.
“Pelancaran jenama dan logo e.MAS hari ini menandakan satu langkah penting dalam perjalanan PROTON ke
arah melancarkan model EV kami sendiri. Sebagai sebuah syarikat yang terikat dengan perindustrian Malaysia,
kami sedar bahawa kami bertanggungjawab untuk menyediakan penyelesaian mobiliti yang relevan dan mampu dimiliki kepada semua rakyat Malaysia.

Oleh itu, PROTON telah mempertimbangkan pendekatan nya terhadap EV dengan teliti untuk membangunkan pangkalan pengetahuan dan memastikan kami mempunyai pemahaman yang menyeluruh tentang produk, teknologi dan keperluan pengguna sebelum jualan bermula,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.
Turut diumumkan pada majlis ini ialah pelantikan 17 pengedar EV Proton pertama yang telah memeterai perjanjian mereka pada awal hari ini. Permohonan kini dibuka untuk peniaga yang berminat menjadi pengedar dan sasaran awal adalah membuka 30 cawangan menjelang 2025 dengan rancangan mengembangkan rangkaian jualan mengikut keperluan pasaran.
“Sebagai jenama automotif pertama di Malaysia, adalah penting bagi PROTON untuk melabur dalam infrastruktur
bagi menawarkan rangkaian perkhidmatan penuh kepada pembeli EV dan bukannya hanya menjual produk. Oleh itu, apabila model Proton e.MAS mula dijual, pelanggan boleh yakin bahawa setiap keperluan mereka akan diuruskan sama seperti pembeli model Proton semasa,” tambah Dr Li Chunrong.


Mengambil pendekatan berstruktur terhadap EV
Berikutan permulaan kerjasama dengan GEELY pada 2017, rancangan telah dibuat untuk memperkenalkan
model Proton EV berikutan kejayaan model SUV baharu syarikat itu yang mengembalikan PROTON kepada
keuntungan. Walaupun rancangan tertunda semasa pandemik COVID, aktiviti disambung semula dengan
bertungkus-lumus dengan upcara menandatangan Memorandum Perjanjian (MOA) antara PROTON dan Syarikat Automobil smart pada 19 Januari 2022.

Ini diikuti dengan pemeteraian Perjanjian Pengedaran Am (GDA) antara kedua-dua pihak pada 18 Ogos serta pembentukan PRO-NET pada 9 September untuk menerajui jualan dan pengedaran kenderaan smart dan
tawaran EV masa hadapan daripada PROTON. Langkah seterusnya ialah tandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Gentari di bulan Oktober untuk bekerjasama dalam pengasasan infrastruktur
mengecas. Ini diikuti dengan penghantaran 16 jurutera ke China pada Disember 2022 untuk Latihan Dalam Kerja (OJT) dalam EV dan bidang berkaitan seperti pengecasan dan servis.

Pada tahun 2023, PROTON telah melantik pengedar untuk smart dan mengambil pekerja dari pelbagai industri untuk memperkuatkan pasukan pekerja untuk menguruskan jenama itu. Usaha meningkatkan pengetahuan dan kepakaran dalam produk EV kepada ekosistem PROTON memuncak dengan pelancaran smart #1 pada 21 November.

Pada masa yang sama, PROTON juga telah melancarkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PROTON di China yang berpangkalan di Institut Penyelidikan Geely di Teluk Hangzhou pada April 2024. Kemudahan baharu
itu akan mengukuhkan keupayaan PROTON untuk mengkonpseptualisasikan, mereka bentuk, membangun dan mengeluarkan model baharu dengan meningkatkan sinergi kecekapan dalaman sedia ada PROTON dengan
sumber dan kepakaran Geely. Ia juga akan membantu meningkatkan kerjasama rentas sempadan, memudahkan pemindahan pengetahuan antara kedua-dua syarikat serta memacu inovasi untuk produk yang disesuaikan untuk
memenuhi keperluan pelanggan PROTON.


Mengulas mengenai jenama EV baharu, Dr Li Chunrong menambah, “Jenama e.MAS dan produknya adalah
lanjutan daripada tiga nilai teras PROTON iaitu Teknologi Inovatif, Kebolehpercayaan dan Antarabangsa. Ini adalah langkah seterusnya dalam evolusi syarikat dan pada beberapa bulan yang akan datang, kami akan
membuat pengumuman baru untuk membina pengiktirafan jenama dan promosi produk menjelang pelancaran
Proton e.MAS EV pertama pada Disember tahun ini.”

Leave a comment

Trending