
RAWANG, 10 Ogos – Suzuki Malaysia telah menganjurkan Majlis Penyerahan Motosikal & Sesi Tunggang-Uji Media untuk model terbaru Suzuki V-Strom 250SX di Gardens Wellness, Gamuda Gardens, Rawang. Acara ini bertujuan mengumpul serta meraikan 50 pembeli eksklusif yang pertama dari seluruh Malaysia. Tidak ketinggalan, pemilik dari Sabah dan Sarawak turut hadir pada majlis ini.

Sehingga tahun 2021, lebih 430,000 unit V-Strom telah dijual di seluruh dunia
sekaligus menjadikan siri motosikal kembara V-Strom sebagai pilihan yang digemari oleh peminat motosikal kembara dan lasak di seluruh dunia. Populariti V-STROM melonjak semenjak pengenalan model V-Strom 1000 yang pertama pada tahun 2002.

Kejayaan model ini telah membawa kepada pelancaran V-Strom 650 pada tahun 2004, diikuti oleh model-model lain seperti V-Strom 1050, V-Strom 800, dan V-Strom 650, yang memenuhi pelbagai keperluan pemiliknya. Kemunculan siri baru V-Strom 250SX
pada kali ini, semestinya bakal meneruskan legasi kecemerlangan ini.
Direka untuk memenuhi keinginan peminat motosikal pengembaraan, V-Strom 250SX terbukti menawarkan prestasi yang hebat serta keselesaan kepada pemiliknya.

Konsep reka bentuk ‘Toughness in a Slender Shell’ merujuk kepada bentuk casis keseluruhan yang ramping sebagai hasil usaha teknologi dan rekaan bentuk enjin yang padat seakan-akan seperti dibalut dalam cangkerang pelindung yang kemas. Reka bentuk ini bukan sahaja meningkatkan daya tarikan visual kepada rupabentuk motosikal, tetapi ia juga turut mengetengahkan ciri-ciri kemudahan dan keselesaan yang optimum dalam situasi tunggangan sebenar.

Huruf “S” pada V-Strom 250SX mewakili “Sport” dan huruf “X” menandakan “Crossover.” V-Strom 250SX diilhamkan dari sebuah rekabentuk ‘paruh’ yang terkenal
dan telah disensasikan oleh lagenda model perlumbaan Suzuki DR-Z dan model off-road DR-BIG. DNA lagenda siri V-STROM ini sekaligus mengukuhkan lagi status visual
ikoniknya yang amat mudah dikenali untuk semua model sekelasnya.

Model V-Strom 250SX ini tersedia dalam tiga pilihan warna yang menarik—Hitam,Kuning, dan Jingga. Ia turut dilengkapi dengan speedometer digital sepenuhnya dan juga lampu LED untuk kedua-dua lampu hadapan dan belakang. Motosikal ini direka dengan
berat bersih 167kg untuk memberikan pengendalian yang lincah semasa mengembara.

Selain itu, ini turut dilengkapi dengan enjin 4-injap suntikan bahan api SOHC yang digabungkan dengan transmisi 6-kelajuan. Walaupun sering motor jenis kembara ini dilabel sebagai tunggangan hujung minggu, V-Strom 250SX pula memberikan kelainan dengan teknologi yang disesuaikan sebagai keutamaan tunggangan harian yang selesa dan berkuasa. Enjin Suzuki Eco Performance (SEP) mengimbangi penjimatan bahan api yang baik selain dilengkapi teknologi suntikan bahan api dan teknologi Sistem Penyejukan Minyak Suzuki (SOCS) yang memastikan suhu enjin tetap sejuk walaupun dalam keadaan yang lincah serta mencabar. Secara keseluruhan, V-Strom 250SX adalah motosikal yang mudah dikendalikan serta mudah diselenggara sekaligus menawarkan ketenangan fikiran kepada pemiliknya.


Di majlis penyerahan ini, wakil media juga turut diberi peluang untuk mencuba dan mengalami sendiri V-Strom 250SX. Pengalaman ini membolehkan mereka benar-benar dapat menilai dan berkongsi tentang keupayaan motosikal ini kepada umum.

Suzuki Malaysia yakin bahawa V-Strom 250SX bukan sahaja akan memenuhi
permintaan tetapi mampu untuk menepati jangkaan pasaran. Suzuki V-Strom 250SX akan tersedia tidak lama lagi di semua pengedar Suzuki di seluruh negara dengan harga jualan runcit yang disyorkan (MSRP) RM17,800 (tidak termasuk cukai jalan, insurans, dan pendaftaran).








Leave a comment