Satu-satunya pembekal motosikal tempatan yang tidak putus-putus mengadakan acara besar-besaran untuk peminat dan penyokong jenamanya.

Ogos 24, 2024, Bandar Medini, Iskandar Putri, Johor Bahru menyaksikan satu perkumpulan raksaksa pemilik motosikal dari sekitar Johor Bahru, malah ada yang datang sejauh daripada Pulau Pinang dan Sarawak!

Pemilik motosikal YAMAHA yang datang dengan baju khas sedondon warna biru, mempamerkan perkataan GENBLU sebagai mengesahkan menjadi sebahagian daripada satu kumpulan pemilik motosikal berjenama YAMAHA.

Karnival GENBLU ini diilhamkan oleh HONG LEONG YAMAHA MOTOR, sebagai salah satu dari cara menghargai sokongan para pemilik, pengguna dan penggemar motosikal-motosikal berjenama YAMAHA tanpa mengira model, kuasa enjin atau status pemilik motosikal Yamaha tersebut.

HLY menganjurkan karnival ini secara tahunan dan mengubah lokasi karnival ini setiap tahun bagi membolehkan ianya lebih ‘dekat’ dengan peminatnya.

Selangor (MAEPS, Serdang), Perak (Lumut), Sabah (Kota Kinabalu) dan terkini di Johor (Bandar Medini, Iskandar Putri, JB), menjadi saksi kesungguhan Yamaha Motor Malaysia menghargai segala sokongan dan meletakkannya sebagai jenama motosikal nombor satu tanahair.

Acara karnival yang wajib diadakan pada setiap karnival Genblu adalah seperti konvoi kelab-kelab motosikal khusus Yamaha seperti kelab pemilik Xmax, NVX, MT, R25, dan sejak akhir-akhir ini wujud grup pemilik model-model retro seperti grup RXZ, RXS, dan TZM, yang seolah-olah mendalat nafas baru dalam pengaktifan aktiviti motosikal-motosikal dua lejang retro ini.

Acara pertandingan motosikal tercantik, peluang menunggang uji jentera-jentera terbaru, terkini dan popular YAMAHA, barisan kaunter jualan/promosi barangan berkaitan motosikal, malah, turut menyaksikan persembahan artis-artis popular tempatan di samping acara kemuncak yang dinanti-nantikan iaitu cabutan bertuah di mana hadiah utama yang ditawarkan adalah motosikal-motosikal YAMAHA yang terkini dan popular.

Perlancaran model terbaru YAMAHA iaitu PG-1 (Playful Gear 1) yang dinanti-nantikan oleh peminat khusus kepada motosikal moped unik ini. Sebuah kapcai lasak, yang turut didatangkan dengan pelbagai aksesori bagi menyesuaikan dengan selera dan kecenderungan pemiliknya.

Tidak ketinggalan melancarkan minuman tenaga khas iatu GENBLU Energy Drink yang secara peribadi saya merasakan, ianya tidak semanis beberapa minuman tenaga lain yang berada di pasaran, tetapi tetap menghilangkan dahaga dan mengembalikan tenaga setelah penat menunggang seharian.

Selain daripada hanya sebagai satu acara pengumpulan pemilik dan peminat motosikal YAMAHA, karnival GENBLU ini juga telah menerima pengiktirafan daripada MALAYSIA BOOK OF RECORDS iaitu Perhimpunan Motosikal satu jenama terbesar di Malaysia dengan kehadiran 16,008 orang pemilik dan penunggang satu jenama (YAMAHA) dan yang turut sama mendapat pengiktirafan MBOR adalah Konvoi Motosikal Wanita dengan jarak paling jauh iaitu 2,518km!

Konvoi tersebut adalah konvoi sempena karnival Genblu ini dan disertai oleh 10 ahli DEWI YAMAHA, yang diketuai oleh duta jenama Yamaha, selebriti/pelakon yang sedang meningkat popular, AHIRINE AHIRUDIN. Konvoi Dewi Yamaha ini bermula secara rasminya dari perlepasan di Tanjung Piai, peghujung benua Asia, melalui pantai timur seperti Endau-Rompin, Kuantan, Kuala Terengganu dan Kelantan. Kemudian konvoi ini melalui jalanraya timur-barat melalui Jeli dan banjaran Titiwangsa untuk ke Royal Belum. Menyinggah di Juru, Penang, dan meneruskan kembali perjalanan ke lebuhraya utara-selatan, melalui Ipoh, Sg Buloh untuk acara sambutan di ibu pejabat Hong Leong Yamaha, dan meneruskan konvoi kembali ke selatan tanahair iaitu ke Bandar Medini, Iskandar Putri, Johor Bahru.

Konvoi selama 8 hari tersebut melalui pelbagai pengalaman suka duka dan cabaran penunggangan dalam pelbagai bentuk laluan jalanraya dan juga cuaca, samada panas terik atau pun hujan lebat.

Karnival Genblu YAMAHA ternyata menjadi satu-satunya acara yang KONSISTEN menghargai peminat, pemilik dan penunggang motosikal YAMAHA Malaysia.

Yamaha Malaysia sentiasa mengiktiraf dan menghargai kultur, keberadaan, kewujudan dan budaya yang wujud daripada jualan motosikal jenama mereka ini.

Semoga ianya terus kekal dijalankan secara tahunan dan menjadi lebih gah dan meriah pada tahun-tahun akan datang.

Leave a comment

Trending