Kuala Lumpur, 16 Oktober 2024 – Stellantis, pengeluar kenderaan keempat terbesar di dunia dan dan perintis penyedia penyelesaian mobiliti mapan dilihat terus mempercepatkan peralihan tenaga ke arah elektrifikasi di Malaysia apabila melancarkan Leapmotor, satu jenama kenderaan elektrik di bawah portfolionya.  

Menerusi sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), jenama Leapmotor membuat debut di Asia Tenggara dengan pelancaran model Leapmotor C10 di Malaysia. Ini jelas menunjukkan komitmen Stellantis untuk menawarkan kereta multi-tenaga yang inovatif, termasuklah kenderaan tenaga baharu ke negara dan rantau ini.  

Pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid. 

Pengembangan Leapmotor di luar pasaran China dipacu oleh syarikat kerjasama dengan pegangan 51/49 yang diterajui oleh Stellantis, dikenali sebagai Leapmotor International. Syarikat itu ditubuhkan dengan visi dan azam yang sama iaitu ke arah elektrifikasi dan kelestarian masa depan. Syarikat kerjasama itu memberikan Stellantis hak eksklusif untuk mengimport, menjual dan mengilang produk Leapmotor di luar China. Malaysia merupakan negara kedua yang memperkenalkan Leapmotor selepas pelancarannya di Eropah bulan lalu. 

YB Senator Tengku Zafrul berkata, “Kerjasama di antara Stellantis dan Leapmotor bukan sekadar melancarkan EV baharu; malah ia turut menyokong matlamat reformasi industri negara dari segi inovasi, kelestarian dan daya saing dalam sektor automotif di dalam Dasar Automotif Negara dan Pelan Induk Perindustrian baharu. Keputusan Stellantis untuk memperkenalkan Leapmotor C10 ke pasaran Malaysia juga mampu meningkatkan keupayaan dan kewujudan kami di rantau ini. Pada masa sama mengukuhkan posisi kami dalam industri automotif global.” 

Menurut data daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), sebanyak 6,117 unit kenderaan elektrik (BEV) talah dijual dalam tempoh separuh pertama tahun 2024. Ini menyaksikan peningkatan ketara dalam pasaran EV iaitu melonjak sebanyak 112% berbanding tempoh sama tahun lalu. Pertumbuhan yang mengagumkan ini membuktikan permintaan terhadap EV dalam kalangan pengguna di Malaysia semakin meningkat. 

Beliau turut menekankan bahawa inisiatif seperti Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) dan Pelan Induk Perindustrian Kebangsaan 2030 (NIMP 2023) adalah sangat penting dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hub kenderaan generasi seterusnya (NxGVs). Selain bertindak sebagai asas buat Malaysia dalam mempercepatkan peralihan kepada EV dan menarik minat gergasi automotif global untuk melabur dalam sektor perkilangan, R&D dan pembangunan bakat rakyat tempatan. 

Ketua Pegawai Operasi Stellantis ASEAN, Daniel Gonzalez berkata, “Malaysia merupakan satu pasaran penting buat Stellantis. Ia dipilih sebagai pasaran pertama untuk Leapmotor di rantau ini kerana wujud permintaan yang kukuh terhadap EV di sini. Bukan itu sahaja, pihak MITI dan MIDA memberi sokongan padu dalam memacu peralihan kepada NEV menerusi pelbagai insentif demi mencapai matlamat sifar emisi menjelang tahun 2050.

Memandangkan Leapmotor kini menjadi sebahagian daripada tawaran Stellantis di Malaysia, kami ingin membawakan teknologi tercanggih EV kepada para penguna, seterusnya dapat menyumbang ke arah matlamat negara mencapai jualan 15% model EV dan hibrid dalam volum keseluruhan industri (TIV) menjelang tahun 2030.”


Stellantis juga mengumumkan pelan masa depan di Malaysia, termasuklah pemasangan tempatan kenderaan pelbagai jenama Stellantis di kilang Gurun, Kedah bagi memenuhi keperluan pasaran di rantau ASEAN. Di samping terus menyumbang kepada rantaian bekalan tempatan, pembangunan bakat dan menghasilkan peluang pekerjaan. 

Stellantis ditubuhkan pada tahun 2021 selepas penggabungan di antara Fiat Chrysler Automobiles (FCA) dan PSA Group. Penggabungan itu membentuk satu portfolio hebat yang merangkumi beberapa jenama ikonik seperti Fiat, Chrysler, Peugeot, Jeep, Citroen, Alfa Romeo, Ram dan banyak lagi. Pada tahun 2021, Stellantis membeli 100% pemilikan ke atas kilang Gurun di Kedah yang disasarkan untuk menjadi hab pengilangan serantaunya, sebagai sebahagian daripada pelan “Dibina di ASEAN untuk ASEAN”. Pengeluar kenderaan itu turut menubuhkan ibu pejabat serantau India dan Asia Pasifik di Kuala Lumpur.

Pada Mac 2024, Stellantis telah melancarkan National Sales Company (NSC) di Malaysia dengan pasukan khas untuk menggerak dan menguruskan aspek pemasaran, pengedaran jualan dan selepas jualan di negara ini.  

Leave a comment

Trending