- 3.85 juta unit sedan terjual sejak pelancaran Proton Saga pada 9 Julai 1985
- Proton S70 mengetuai segmen-C dengan purata 1,640 unit terjual sebulan sejak Januari
Subang Jaya, 21 Oktober 2024 – Membesar di Malaysia pada tahun 1980-an dan 1990-an, adalah perkara biasa melihat sedan Proton terparkir di banyak halaman rumah. Kereta buatan Malaysia ini bukan sahaja mampu milik, boleh dipercayai, dan praktikal, malah sering menjadi kenderaan pertama bagi kebanyakan keluarga.

Apabila anak-anak meningkat dewasa dan perlu ke kolej, kereta ini diwariskan kepada ahli keluarga yang lebih muda, memberikan mobiliti kepada pembeli kereta generasi demi generasi.
Lebih 40 tahun dari tahun penubuhannya, Proton kekal sebagai jenama terlaris bagi sedan di Malaysia. Warisan ini menyaksikan sebanyak 3.85 juta unit terjual hingga kini, dibina oleh ikon-ikon negara seperti Proton Saga, Proton Wira dan Proton Waja, yang pernah digunakan sebagai kereta polis di Humberside County, United
Kingdom, dua generasi Proton Persona, Proton Prevé, dan kini tambahan terbaru dalam keluarga sedan iaitu
Proton S70.

Dilancarkan pada bulan November tahun lalu, Proton S70 menjadi pilihan utama dalam kategori sedan-C dalam
jangka masa yang cepat, dengan jumlah jualan tahun-ke-tahun mencecah 14,877 unit sehingga bulan September.
Jualan keseluruhan telah mengatasi pesaing lain dalam kategori yang sama, dengan purata 1,640 unit terjual
sebulan sejak bulan Januari tahun ini. Model ini mendahului jualan dalam segmennya, dengan tiga negeri teratas
iait Selangor, Johor, dan Pulau Pinang. Namun, penyumbang terbesar dalam kumpulan ini ialah Proton Saga
yang sentiasa relevan, dengan jualan melebihi 2 juta unit sejak pelancarannya pada 9 Julai 1985 hingga bulan September tahun ini. Model ini telah melalui perubahan besar menerusi tiga generasi, dengan peningkatan dari segi keselamatan, reka bentuk, prestasi, keselesaan dalaman dan ciri-ciri, pembangunan platform dan casis, serta badan yang lebih kukuh.

Kejayaan sentiasa datang daripada memenuhi kehendak pelanggan, dan bagi sedan Proton, pengalaman
pemanduan yang responsif, rekod keselamatan, serta keseronokan di belakang stereng memainkan peranan
besar dalam menarik minat pembeli kereta. Seiring dengan perubahan zaman, model-model ini turut
memperkenalkan peningkatan keselamatan yang relevan, seperti sistem brek anti-kunci (ABS), beg udara, pretensioner tali pinggang keledar, struktur badan yang dibentuk dengan hot-press form, dan baru-baru ini dengan Proton S70, ciri-ciri ADAS (Advanced Driver Assistance Systems) tahap 2 seperti bantuan pertukaran lorong, brek kecemasan automatik, kawalan pemanduan pintar, serta maklumat papan tanda trafik untuk memastikan sedan Proton kekal di barisan hadapan teknologi keselamatan.

Selain daripada menumpukan perhatian kepada ciri-ciri, pembeli kereta juga membuat keputusan berdasarkan gaya dan praktikaliti, yang merupakan satu lagi tanda keistimewaan sedan Proton. Contohnya, Proton Saga mempunyai ciri unik yang mengingatkan pemandu untuk memeriksa kenderaan mereka bagi memastikan tiada barang atau kanak-kanak yang tertinggal sebelum keluar dari kereta, manakala Proton Persona menawarkan ruang but sebanyak 500 liter, memudahkan perjalanan jauh dengan bagasi.

Sementara itu, Proton S70
menetapkan piawaian lebih tinggi dengan menggabungkan ciri-ciri seperti lampu hadapan LED, kamera 360 darjah, evolusi terkini perisian dalam kereta PROTON, skrin sentuh 12.3 inci, dan juga bumbung suria, yang terus meningkatkan lagi tahapnya dalam segmen ini.

Tinjauan menunjukkan Proton S70 ialah sedan keluarga yang mengimbangi gaya, keselesaan, dan nilai Proton S70 dilihat sebagai sedan keluarga yang maskulin tetapi elegan, menggabungkan ciri-ciri progresif dan
inovatif. Tinjauan terbaru oleh Insight Asia yang melibatkan 277 peserta berumur antara 22 hingga 59 tahun
mendedahkan bahawa pembeli mengutamakan kemampuan, keselesaan, dan keselamatan, bersama dengan reka bentuk yang bergaya dan moden. Sebab-sebab utama untuk memilihnya termasuk estetika yang menarik, kuasa yang baik, dan nilai keseluruhan yang berbaloi, bermula dari lebih RM70,000. Ramai pemilik telah naik taraf dari segmen yang lebih kecil dan tidak mempertimbangkan model lain, melihat model ini sebagai unik dalam kelasnya.

Secara keseluruhan, pemilik Proton S70 menyatakan kepuasan tinggi terhadap keselesaan kabin, ruang penyimpanan, dan ciri keselamatan. Walaupun kebanyakan mereka melaporkan tiada isu yang ketara, ada yang mengalami masalah bunyi, getaran, dan kekerasan (NVH) yang kecil, yang tidak menjejaskan pengalaman keseluruhan mereka. Cadangan untuk penambahbaikan termasuk pengenalan ciri seperti pengelap cermin
automatik dan tempat duduk berventilasi, menurut Insight Asia.

“Di PROTON, kami sangat berbangga dengan hubungan erat kami dengan keluarga Malaysia, yang bermula
sejak tahun 1980-an. Sedan kami, dari Saga yang ikonik hingga S70 yang inovatif, bukan sahaja berfungsi sebagai kereta pertama yang boleh diharap tetapi juga telah menjadi warisan keluarga yang dihargai, mencipta kenangan yang abadi merentasi generasi. Dengan lebih 3.85 juta unit terjual, kami terus komited untuk memberikan kualiti, keselamatan, dan inovasi, memastikan setiap kenderaan mencerminkan dedikasi kami terhadap keperluan
pelanggan yang semakin berkembang,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.








Leave a comment