Pada 14 dan 15 September 2024 yang lalu, kami sempat mengambil bahagian dalam acara yang dijalankan di sebuah litar lumba kecil di Arau, Perlis. Acara sukan permotoran yang dikenali sebagai Karnival Sukan Bermotor Perlis 2024 atau KSBP2024 secara singkatannya. Acara ini menjadi satu aktiviti penting buat litar tersebut bagi memberikan platform yang berguna buat komuniti sukan permotoran di kawasan itu. Acara 2-hari tersebut telah berlangsung dengan sokongan dari Tourism Malaysia telah berjaya mendapatkan seramai lebih 150 orang peserta dengan 60 orang terdiri dari peserta acara Go-Kart dan 90 orang dalam kategori perlumbaan motosikal.

Acara KSBP2024 ini tampak menonjol sebagai sebuah acara sukan permotoran yang unik dimana ia menggabungkan dua disiplin perlumbaan berbeza dalam satu acara. Ia membawa perlumbaan Go-Kart dan juga perlumbaan jentera motosikal atau dalam kategori yang lebih dikenali sebagai kapcai. Penggabungan dua acara ini sebagai tanda pihak penganjur meraikan dan memberikan keterlibatan jitu buat peminat sukan berkenaan dari daerah  sekitar negeri Perlis. Ini satu kesinambungan yang dibawa sejak penganjurannya bermula dari tahun 2023. KSBP2024 ini murapakan buah fikiran dan usaha dari kumpulan sukan permotoran akar umbi tempatan yang dikenali sebagai BRAAAP Motorsports yang juga merupakan pengendali litar URC Arau tersebut.

Perlaksanaan KSBP2024 ini membawa sinergi perancangan dimana sebagai syarikat pengendali litar itu yang turut menjalankan aktiviti sewaan Go-Kart sebagai aktiviti awam yang ditawarkan. Inisiatif ini dirangka bagi mempromosi dan melestarikan fasiliti litar di negeri Perlis itu bagi turut mempromosi dan memperkuatkan budaya sukan permotoran di Malaysia yang masih cetek dari segi pengetahuan dari orang ramai di Malaysia. Langkah pembangunan sukan permotoran akar umbi ini digerakkan dengan dasar mampu milik atau lebih mesra ekonomi yang sedia maklum diketahui sebagai punca utama kenapa sukan permotoran dianggap sebagai sukan yang sukar untuk diambil bahagian dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Walau bagaimanapun, acara KSBP2024 dilaporkan merupakan tahun terakhir perlaksanaannya di litar URC Arau ini berikutan operasi yang dikelola oleh pihak BRAAAP Motorsports terpaksa dihentikan. Kami dimaklumkan bahawa penghentian operasi ini berlaku atas punca hilang persetujuan dalaman tentang terma yang diusulkan kepada pihak pemilik litar dan pihak pengelola. Namun begitu, acara ini tetap dianggap sebagai satu kejayaan yang wajar dirai dengan sambutan yang positif dimana sokongan dan penyertaan yang diterima cukup menggalakkan walaupun siri tersebut hanya masuk tahun kedua perlaksanaannya di negeri Perlis.

Acara ini telah berjaya membuktikan bahawa penerimaan sukan permotoran malah keinginanan terhadap sukan ini cukup mempunyai permintaan yang tinggi di negeri Perlis dan secara am nya dari utara tanah. Namun begitu, usaha sebegini perlu diberikan lebih perhatian dan sokongan dari pihak berwajib supaya ia terus konsisten menjadi pentas yang ampuh untuk membentuk budaya serta bakat yang boleh ditonjolkan melalui sukan permotoran sebegini. Ia juga dapat membantu menjadi pemangkin ekonomi dalam sektor automotif, hospitaliti dan lain-lain sektor sokongan yang turut melibatkan industri pelancongan domestik.

Kesimpulannya, kejayaan suasana dan sambutan acara Karnival Sukan Bermotor Perlis 2024 ini boleh dijadikan panduan bagi pihak berkenaan atau pihak berwajib untuk membuat penilaian terperinci bagi memperkuat penglibatan masyarakat terhadap aktiviti sebegini. KSBP2024 telah membuka jalan yang lebih tersedia berbanding beberapa acara lain yang pernah dianjurkan di litar yang sama sebelum ini. Kami berharap sesuatu yang positif boleh dilaksanakan pada masa akan datang untuk sektor sukan permotoran di utara tanah air bagi terus membangunkan industri ini buat negara. Ikuti Fastlenz untuk lebih banyak berita menarik dari negara kita.  

Leave a comment

Trending