
Kami telah dijemput bagi menghadiri majlis pelancaran rasmi buat jenama Dongfeng yang bertempat di pejabat urusan utama jenama ini iaitu CADB di Kota Damansara. Dalam majlis yang cukup meriah tersebut, model Dongfeng Box yang hadir dengan dua variasi iaitu E2 dan E3 ini telah dipamerkan dengan lebih jelas buat para jemputan yang rata-ratanya hadir dari kelompok pengamal media dan juga rakan kongsi industri buat jenama itu.
Harga yang diumumkan secara rasmi adalah RM100,000 buat model Dongfeng BOX E2 manakala model Dongfeng BOX E3 pula dijual pada harga sasaran mereka iaitu RM113,000 sahaja. Kereta elektrik terkini yang memasuki pasaran Malaysia ini bakal berentap secara terus dengan model seperti BYD Dolphin yang turut mempunyai tanda harga yang sama dengan tawaran pakej kenderaan EV yang juga mirip antara satu sama lain.

Sudah tentu, jenama Dongfeng ini pastinya mempunyai keunikannya yang tersendiri dan apabila dilihat dan dirasai, model Dongfeng BOX ini jelas mempunyai kualiti buatan yang lebih “solid” dan disasarkan dengan pengunaan oleh mereka yang mengutamakan gaya hidup. Jarak pemanduan dengan satu cas juga boleh mencapai 430km buat model E3 dan ini memberikan ia satu keupayaan yang kuat bagi mereka yang mencari sebuah kenderaan elektrik pertama. Ia turut menyokong pengecasan pantas dengan pengisian dari 30 peratus hingga 80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.
Kelengkapan lain buat model Dongfeng BOX ini juga mencapai keperluan masakini yang mementingkan keselamatan dan kecanggihan teknologi dalaman dan luaran sesebuah kereta moden. Sistem ADAS adalah ketersediaan yang utama buat Dongfeng BOX ini dan sistem operasi atau IHU nya juga mempunyai keupayaan perhubungan dengan telefon pintar melalui Apple Carplay atau Android Auto bagi memudahkan pemandu dengan skrin paparan yang cukup besar sekitar 12.8 inci. Ruang kabin juga kami boleh katakan cukup luas bagi sebuah kenderaan elektrik pada tahap “entry-level” ini dan ia juga mempunyai tempat duduk yang selesa serta penggayaan yang menarik untuk dilihat.

Dalam pelancaran itu juga, pihak pengurusan telah mengumumkan bahawa pembeli terawal boleh memilih pakej khas yang memberikan penjimatan sehingga RM5,000. Melalui acara ini, pengguna dimaklumkan dengan ketersediaan sebanyak 18 buah cawangan di seluruh negara juga akan terus beroperasi bagi menyokong jenama itu di Malaysia. Pelbagai maklumat lanjut bakal kami kongsikan dalam masa akan datang melalui ulasan terperinci dalam bentuk video melalui laman YouTube dan TikTok kami dalam masa terdekat. Oleh itu, teruskan bersama kami di Fastlenz untuk informasi automotif tempatan anda.







Leave a comment