JOHOR BAHRU, 28 November 2024 – BMW Group Malaysia menyambut Ulang Tahun Ke-20 Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group di Malaysia, dan meraikan pencapaian signifikan ini menerusi perluasan mega kemudahan canggih tersebut yang
terletak di Zon Perindustrian Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru.


Mula ditubuhkan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah pada 2004, Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group telah berpindah ke fasiliti canggihnya kini pada 2016. Sebagai salah satu fasiliti BMW terbesar seumpamanya di rantau Asia Pasifik, Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group ini pada asalnya merupakan gudang berkeluasan 45,000 meter persegi. Dengan penyiapan perluasan terbaharunya, fasiliti tersebut kini meliputi 65,000 meter persegi yang mengagumkan, seterusnya memperkukuhkan komitmen BMW Group terhadap kecemerlangan operasi di rantau dan
pelaburan negara ini.


Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), mengucapkan tahniah kepada BMW Group Malaysia sempena ulang tahun ke-20 dan pelancaran Fasa 2 Pusat Pengedaran
Alat Ganti Serantau di Senai, Johor. Beliau menekankan kepentingan pencapaian ini dan berkata:
“Perjalanan pertumbuhan BMW Group di Malaysia sepanjang 20 tahun yang lalu bukan sekadar kisah pertumbuhan perniagaan; ia adalah bukti kepada visi perkongsian, kemajuan teknologi, dan prestasi cemerlang. Pengembangan ini adalah pengesahan kukuh terhadap kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk strategik ke rantau ini, tempat
inovasi dan peluang bertemu.

Kemudahan ini bukan sahaja berfungsi sebagai hab operasi; ia melambangkan kepercayaan BMW Group terhadap ekosistem kita sambil memperkukuhkan peranan Malaysia sebagai bahagian penting dalam rantaian bekalan Asia Pasifik mereka. Ia turut memenuhi dua tujuan iaitu menyokong operasi selepas jualan BMW Group dan menjadi pangkalan strategik untuk rangkaian bekalan serantau mereka. Dengan sambungan yang sangat baik, kumpulan bakat yang mahir, dan dasar-dasar yang berwawasan, MIDA kekal komited untuk membuka jalan bagi kejayaan
berterusan BMW Group dan memberi inspirasi kepada pihak lain untuk melabur dalam potensi Malaysia yang tiada had.”

Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Dalam meraikan 20 tahun Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau di Malaysia, kami mengimbas kembali akan kepentingan fasiliti ini bukan sahaja daripada segi kejayaan BMW Group sebagai pengeluar automotif premium terkemuka di Malaysia tetapi juga dalam mengukuhkan status Malaysia sebagai hab logistik strategik kami di rantau Asia Pasifik. Sedari awal,
fasiliti ini dan kemampuannya merupakan simbol kecemerlangan operasi dan telah berkembang menjadi fasiliti canggih yang diiktiraf di peringkat serantau serta global.”
Perluasan terbaharu Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group membawakan beberapa penambahbaikan yang ketara, termasuk Kawasan Penyimpanan Bateri Voltan Tinggi (HV) yang dibina khusus serta sistem rak lorong sangat sempit (VNA) yang moden.

Konfigurasi dua tingkat fasiliti ini menyediakan peluang untuk perluasan pada masa hadapan, manakala penggunaan bumbung panel solar menyokong inisiatif kemampanan
BMW Group dengan lebih meluas.
Pencapaian Kewangan dan Kecemerlangan Operasi.

Sejak penubuhannya di Zon Perindustrian Bebas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru, Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group telah
menyaksikan pertumbuhan yang berterusan dalam perolehan tahunannya.

Meningkatkan keupayaan perniagaan daripada EUR 141 juta pada 2017 kepada lebih EUR 277 juta pada 2023, peningkatan hampir 97 peratus dalam pertumbuhan dan hampir dua kali ganda daripada ketika fasiliti tersebut mula beroperasi.

Mengukuhkan lagi pencapaian kewangannya, fasiliti ini mengendalikan lebih 100,000
inventori masuk dan keluar setiap bulan, mengekalkan tahap perkhidmatan sekitar 90 peratus untuk lebih 20 pasaran yang berbeza di rantau ini. Pencapaian ini menunjukkan kemampuannya yang kukuh dalam memenuhi keperluan pelbagai pasaran. Fasiliti ini juga menguruskan stok dengan hampir 52,000 alat ganti, yang mana sekitar 30
daripadanya merupakan Bateri Voltan Tinggi, serta mengekalkan kadar pengambilan dan pembungkusan tepat waktu melebihi 99 peratus serta kadar 99.5 peratus bagi barangan yang dihantar dalam kondisi sempurna.

Setiap minggu, 15 unit kontena 40-kaki dihantar menerusi pengangkutan laut BMW Group dan 33,000 meter padu menerusi penghantaran udara. Di peringkat domestik, fasiliti ini menguruskan 42 trak untuk
penghantaran keluar ke Malaysia, Singapura, dan Thailand setiap minggu.
Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group yang diperluaskan ini bukan sahaja mengukuhkan keupayaan logistik BMW Group, malah turut meletakkan fasiliti ini sebagai
penyokong utama landskap automotif yang semakin berkembang di rantau ini. Pelaburan berterusan BMW Group di Malaysia memastikannya kekal di barisan hadapan dalam kecemerlangan operasi, sekaligus mengukuhkan peranan penting negara ini dalam kejayaan BMW Group untuk tahun-tahun akan datang.

Leave a comment

Trending