Sime Darby Auto ConneXion (Auto Connexion) selaku pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia telah mengumumkan 11 dan 12 Januari 2025 sebagai tarikh berlangsungnya acara Raptor Rev yang dinanti-nantikan. Ia merupakan acara off-road perdana yang pertama anjuran Ford di Malaysia. Sempena pengumuman ini juga, Auto ConneXion-Ford telah melancarkan laman mikro eksklusif untuk acara berkenaan dan mempelawa pemilik Ford Ranger Raptor untuk mendaftar, dengan tempat terhad kepada 50 penyertaan sahaja.

Bakal berlangsung di Bay 13, Litar Sepang, Selangor dari 7 pagi hingga 7 malam, Raptor Rev menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Peserta akan mengikuti latihan yang mendalam meliputi teori off-road, suspensi, tayar, lompatan, drifting, Hot Laps Baja serta laluan berhalangan 4×4 secara amali. Selepas menamatkan latihan teori dan amali tersebut, peserta akan bersaing dalam Cabaran Autocross yang akan menguji kemahiran mereka. Pemenang akan membawa pulang baucar minyak bernilai RM3,000.

Khalayak awam juga dijemput untuk menyertai karvinal dengan pelbagai acara menyeronokkan sambil menyaksikan prestasi Ranger Raptor secara langsung.

“Kami teruja untuk mempelawa pemilik Ranger Raptor di sini ke acara eksklusif tersebut, di mana mereka boleh meneroka sepenuhnya keupayaan sebenar kenderaan sendiri melalui pengalaman off-road yang mendalam. Bagi yang bukan pemilik Ranger Raptor pula, acara ini akan memberikan peluang unik untuk mereka menyaksikan kuasa dan prestasi Ranger Raptor ketika beraksi, disamping berinteraksi dengan kelompok peminat off-road yang lain,” ujar Pengarah Urusan Auto ConneXion-Ford, Turse Zuhair.

Pendaftaran awal kini dibuka

Bermula sekarang hingga 13 Disember, pemilik Ranger Raptor boleh menempah penyertaan mereka dalam acara Raptor Rev dengan yuran sebanyak RM275.00 (kadar yuran biasa RM350). Tawaran eksklusif ini meliputi:

  • Sehelai kemeja-T Raptor dan topi edisi terhad yang diperibadikan.
  • Pakej makanan dan minuman lengkap sepanjang hari.
  • Akses kepada bengkel khusus — merangkumi sesi teori dan praktikal yang memberi tumpuan kepada pemanduan off-road dan prestasi kenderaan.
  • Cabaran Autocross.

Pendaftaran boleh dilakukan melalui http://www.raptorrev.com.my

Masuk percuma untuk orang awam

Acara ini juga terbuka kepada khalayak awam yang bukan pemilik Ranger Raptor untuk ikut serta sebagai pengunjung secara percuma. 100 pendaftaran secara online akan menerima baucar makanan dan minuman yang boleh digunakan untuk pesanan melalui trak makanan yang disediakan.

Kemuncak acara termasuklah:

  • Hot Laps: peluang merasakan sensasi dalam litar Baja bersama pemandu off-road berpengalaman.
  • Kemeja-T edisi terhad Raptor Rev bagi 100 pemilik Ranger Raptor terawal yang menunjukkan kunci trak mereka ketika hadir.
  • Peluang menyaksikan kemampuan dan pandu uji Ranger Raptor secara langsung.
  • Karnival menyeronokkan dengan pelbagai persembahan dan aktiviti menarik.

Jenama tayar Amerika yang terkemuka, BFGoodrich dengan bangganya menjadi rakan strategik utama untuk acara off-road ini. Mereka akan menyediakan sokongan teknikal melalui taklimat mendalam serta pengalaman amali berkaitan tayar. Pengunjung ke acara ini juga boleh meneroka ruang pameran BFGoodrich yang turut akan mempamerkan tayar KO3 yang baru dilancar, yang menawarkan ketahanan dan prestasi yang tiada tandingan.

“Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada acara yang menyediakan platform untuk memperkasakan pemandu dengan keyakinan dan prestasi ini, disamping berkongsi kepakaran dengan komuniti. Melalui usaha sama ini, matlamat kami adalah untuk menyumbang kepada perkembangan komuniti dengan menawarkan pendedahan berharga serta memupuk pemahaman yang lebih mendalam terhadap teknologi tayar,” ujar Prichapakorn Dangrojana, Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura dan Brunei.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Auto ConneXion dan Ford, ikuti Ford Malaysia di  FacebookInstagramTwitter dan saluran YouTube atau layari www.sdacford.com.my.

Leave a comment

Trending