KUALA LUMPUR, 16 MEI 2025 – QJMOTOR Malaysia secara rasminya memperkenalkan
model skuter kompak terbaharu mereka, QJMOTOR AX200S di Courtyard Kuala Lumpur yang direka khas untuk penunggang harian moden dengan tiga warna pilihan iaitu Grey, Moon Blue dan Sand Brown.

Dikelaskan sebagai skuter ‘commuting’, QJMOTOR AX200S merupakan pilihan ideal dengan penawaran harga bermula RM7,988.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans). QJMOTOR
AX200S kini boleh didapati di mana-mana pengedar sah Mforce seluruh Malaysia.
Model ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 4-injap, SOHC bersesaran 175cc, dipadankan dengan sistem penyejukan cecair serta sistem bahan api EFI (Electronic Fuel Injection) yang menjamin penjimatan bahan api dan kelancaran pembakaran. Piston dan lejangya berukuran 60mm x 61.8mm dengan enjin yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 13.0kW pada 8,500rpm dan tork puncak 15.2Nm pada 6,500rpm, sesuai untuk kegunaan harian yang lancar dan responsif.

Transmisi jenis CVT (Continuously Variable Transmission) yang dipacu oleh sistem tali sawat (belt final drive) memudahkan pengendalian tanpa perlu pertukaran gear manual. Klac automatik turut digunakan bersama sistem pelinciran jenis tekanan dan percikan (pressure splash lubrication), memberikan kecekapan serta perlindungan dalaman enjin.
Terdapat dua unit winglet di bahagian hadapan skuter sebagai pelengkap aerodinamik pada sisi motosikal yang membantu penunggang motosikal untuk mengekalkan kestabilan skuter
dengan memotong angin dari arah hadapan.

Dari segi dimensi, QJMOTOR AX200S hadir dengan ukuran panjang 1,930mm, lebar 720mm, tinggi 1,120mm, serta jarak roda 1,340mm. Ketinggian tempat duduk adalah 780mm, manakala jarak kelegaan tanah ialah 145mm yang memberikan tunggangan stabil dan mudah dikendalikan. Dengan berat basah hanya 127kg dan kapasiti tangki bahan api 10 liter, QJMOTOR AX200S adalah skuter ringan yang sesuai untuk perjalanan dalam bandar.

Untuk sistem suspensi, model ini dilengkapi fork teleskopik di hadapan dan rear coil spring
dengan redaman minyak di belakang, memberikan keselesaan yang konsisten di atas pelbagai jenis permukaan jalan. Tayar pula menggunakan jenama CST, bersaiz 100/80-14 di
hadapan dan 120/70-14 di belakang, kedua-duanya jenis tanpa tiub (tubeless) untuk
keselamatan dan ketahanan maksimum.

Sistem brek cakera hadir di kedua-dua roda dengan cakera berdiameter 230mm di hadapan dan 220mm di belakang, serta dipadankan dengan sistem ABS dwi-saluran untuk kestabilan brek yang lebih baik dalam situasi kecemasan.

Dari aspek teknologi dan kemudahan, QJMOTOR AX200S dilengkapi meter LED berwarna, sistem pencucuhan C.D.I, serta port pengecasan USB Type-A dan Type-C yang terletak di ruang simpanan hadapan seterusnya memudahkan penunggang mengecas peranti ketika
dalam perjalanan. Ciri-ciri lain termasuk lampu hadapan, lampu belakang dan lampu isyarat LED serta turut mempunyai butang isyarat kecemasan (emergency signal button) yang terletak di suis kanan pemegang.

Tambahan pula, sistem keselamatan Side Stand Safety Switch disediakan untuk
mengelakkan enjin dihidupkan ketika tongkat sisi diturunkan. Sistem kunci pintar (keyless)
dan kunci mekanikal juga tersedia untuk kemudahan dan pilihan penunggang.

Untuk kawalan tambahan, QJMOTOR AX200S turut dilengkapi sistem Traction Control yang boleh ditukar (TCS) bagi mencegah gelinciran tayar ketika permukaan jalan licin, meningkatkan tahap keselamatan semasa tunggangan. Ruang simpanan bawah tempat duduk juga disediakan untuk menyimpan barang harian dengan lebih mudah.

Dengan reka bentuk moden, ringan dan lengkap dengan teknologi keselamatan semasa,
QJMOTOR AX200S sememangnya ditujukan kepada penunggang harian yang menginginkan kombinasi gaya, kecekapan dan ciri praktikal dalam satu pakej yang mudah dimiliki.

Dengan setiap pembelian mana-mana model QJMOTOR AX200S, para pembeli boleh
menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.

Leave a comment

Trending