Perjalanan Baharu Bermula Untuk Jenama Motosikal Pertama Amerika di Malaysia


Petaling Jaya, 21 Jun (Sabtu) — Indian Motorcycle, jenama motosikal pertama dari
Amerika Syarikat yang diasaskan pada tahun 1901 telah secara rasminya dilancarkan di Malaysia oleh Spirit Lake Motor Sdn. Bhd., sebuah syarikat di bawah kumpulan AFY Mobility Industries (AMI). Majlis pelancaran telah ini berlangsung di Shizuku Coffee,
B.Land, Petaling Jaya dan sekalgus menandakan satu pencapaian penting dalam
perkembangan jenama Indian ke rantau Asia Tenggara.


Nama Spirit Lake Motor diambil sempena penghormatan kepada warisan dan komitmen jenama ini terhadap mutu kerja dan seni pembuatan motosikal lagenda
ikonik yang beroperasi di lokasi kilang Indian Motorcycle di Spirit Lake, Iowa, Amerika
Syarikat. Spirit Lake Motor kini sah sebagai pengedar tunggal dan eksklusif motosikal
Indian Motorcycle di Malaysia. Ia bukan sahaja menawarkan rangkaian produk premium, malah turut menyediakan pelbagai manfaat pemilikan menyeluruh termasuk
perkhidmatan selepas jualan, alat ganti, sokongan teknikal, jaminan, dan pelesenan
barangan aksesori rasmi. Pendekatan ini adalah untuk memastikan pengalaman
pemilikan penuh yang lancar dan sempurna buat semua pemilik Indian Motorcycle di
Malaysia.

Majlis pelancaran pada kali ini menampilkan barisan penuh model-model ikonik Indian Motorcycle seperti Chieftain Dark Horse, Springfield Dark Horse, Scout, Scout
Bobber Twenty, Scout Rogue, dan Scout Bobber.

Amanah dan Pengalaman
Secara global, Indian Motorcycle kini memasuki era baharu yang lebih stabil di
bawah prinsipal semasa yang berdaya saing dan inovatif. Dengan kemasukan jenama
ini ke pasaran Malaysia, ia bukan sahaja mendapat sokongan rangkaian antarabangsa, tetapi turut didokong oleh legasi pengurusan serta edaran tempatan yang dipercayai.

Sebagai anak syarikat AFY Mobility Industries (AMI), Spirit Lake Motor membawa
bersama kredibiliti pasukan pengurusan dengan puluhan tahun pengalaman dalam
industri dua roda di Malaysia. Amanah ini adalah satu misi berasaskan warisan,
kebolehpercayaan dan penghormatan yang semestinya akan terus menjanjikan penawaran produk berkualiti serta memperkasakan pengalaman pemilikan, penghargaan jenama dan legasi Indian Motorcycle.

Destinasi Gaya Hidup Baharu Dalam Perancangan

Indian Motorcycle Malaysia ketika ini sedang beroperasi secara rasmi dari ruang pameran khas AMI Showroom di PJ222, Petaling Jaya. Rancangan sedang giat dijalankan oleh Spirit Lake Motor untuk membuka sebuah pusat pameran utama yang baru serta lengkap dengan penyediaan pakej Jualan, Servis dan Alat Ganti (3S) secara menyeluruh di bawah satu bumbung, sekaligus menjanjikan pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan eksklusif kepada para pelanggan.

Ruang pameran utama yang bakal dibina menjelang hujung tahun ini kelak bakal menjadi destinasi yang mempromosikan gaya hidup Indian Motorcycle yang
memfokuskan kepada elemen semangat kebersamaan dan aktiviti komuniti penunggang jenama ini.

Warisan Inovasi Moden
Diasaskan di Springfield, Massachusetts, Indian Motorcycle bermula dengan
penghasilan basikal berkuasa motor dengan dilengkapi enjin V berkembar yang turut
digunakan dalam perlumbaan seawal tahun 1900-an. Selain itu, Indian juga turut menjadi sebahagian daripada simbol kejuruteraan dan semangat penuh jiwa Amerika dengan pembekalan 50,000 unit motosikal yang digunakan dalam perkhidmatan Tentera Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Pertama.

Komitmen Jangka Panjang Untuk Penunggang Indian Malaysia
Spirit Lake Motor berhasrat untuk terus komited dalam membina hubungan yang
kukuh dengan komuniti penunggang ‘cruiser’ dan akan terus bersama dengan
peminatnya dalam aktiviti yang bakal merancakkan jenama Indian di Malaysia.
“Kami percaya pada legasi Indian Motorcycle serta kesepaduan semangat
komuniti penunggang motosikal ini di Malaysia. Ini merupakan satu perjalanan
penuh kami dalam mengadaptasi sebuah warisan, keberanian dan semangat
cruiser – Indian Motorcycle. Kami mengalu-alukan semua untuk merasai sendiri karya legenda Amerika ini,” menurut Lai Wai Keat, Pengurus Jenama Indian Motorcycle Malaysia, mewakili Spirit Lake Motor Sdn. Bhd.

Leave a comment

Trending