Dikuasakan enjin 2.0L TGDi (180kW/375Nm) dengan Intelligent XWD dan penarafan keselamatan 5-Bintang ASEAN NCAP.

Kuala Lumpur, 13 Mac 2026 – JETOUR Malaysia hari ini melancarkan JETOUR T2, sebuah SUV berkeupayaan tinggi direka untuk rakyat Malaysia yang mahukan kepraktisan harian bersama kebolehan merentas pelbagai jenis permukaan jalan. JETOUR T2 menggabungkan kuasa enjin turbo, keupayaan pacuan semua roda pintar, sambungan teknologi terkini serta ciri keselamatan komprehensif dalam reka bentuk kotak yang tersendiri dan menonjol di jalan raya Malaysia. Pengenalan JETOUR T2 turut mengukuhkan kehadiran JETOUR di Malaysia dengan menawarkan pilihan menarik kepada pelanggan dalam segmen SUV berorientasikan pengembaraan yang semakin berkembang.

Mr. Ke Chuandeng, Presiden JETOUR International, berkata, “Pelancaran JETOUR T2 merupakan satu pencapaian penting bagi JETOUR di Malaysia. Berpandukan falsafah Travel+, kami mencipta kenderaan yang menggabungkan mobiliti, gaya hidup dan penerokaan secara menyeluruh bagi menyokong keperluan perjalanan harian serta pengalaman perjalanan yang lebih bermakna. Malaysia merupakan pasaran strategik bagi kami dan kami yakin JETOUR T2 akan mendapat sambutan daripada pemandu yang mahukan gabungan pengembaraan dan kemewahan dalam sebuah SUV. Seiring dengan pengembangan kehadiran kami di Malaysia, JETOUR kekal komited untuk membina kepercayaan jangka panjang melalui kecemerlangan produk serta kerjasama tempatan yang bermakna.”

Di teras JETOUR T2 ialah enjin 2.0 liter turbocharged direct injection (TGDi) yang menghasilkan 180kW kuasa dan 375Nm tork, dipadankan dengan transmisi Dual Clutch 7-kelajuan (7DCT). Kuasa disalurkan melalui sistem Intelligent XWD JETOUR yang dilengkapi mod pemanduan 7+X, yang menyesuaikan pengagihan tork secara berterusan mengikut permukaan dan keadaan pemanduan. Sama ada memandu dalam trafik bandar, di lebuh raya atau merentas permukaan jalan yang tidak rata, sistem ini meningkatkan cengkaman, kestabilan dan kawalan untuk memberikan keyakinan kepada pemandu. JETOUR T2 dipadankan dengan rim aloi 255/60 R19, menyerlahkan penampilannya yang gagah serta kesediaannya untuk pengembaraan luar jalan.

Dari segi reka bentuk, JETOUR T2 tampil menonjol dengan reka bentuk gagah yang memberikan kehadiran jalan yang kukuh. Antara elemen luaran utama termasuk lampu hadapan LED automatik, lampu tandatangan “JETOUR” yang bercahaya, lampu belakang LED Light Ray yang tersendiri serta tayar simpanan yang dipasang di bahagian belakang, menonjolkan karakter pengembaraan kenderaan ini. Fungsi penutupan lembut (soft-close) turut menambah kemudahan dalam penggunaan harian. JETOUR T2 ditawarkan dalam tiga pilihan warna luaran: Khaki White, Aviation Silver dan Carbon Black.

Di bahagian dalaman, kabin menampilkan paparan multimedia 15.6 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, membolehkan integrasi telefon pintar secara lancar. Pembantu suara pintar “Hello Jetour” membolehkan pemandu mengawal navigasi, sistem pendingin hawa dan fungsi media melalui arahan suara, manakala pengecas tanpa wayar pantas 50W memastikan peranti kekal dicas sepanjang perjalanan. Sistem audio premium SONY dengan 12 pembesar suara turut meningkatkan pengalaman pemanduan dengan kualiti bunyi yang imersif, sesuai untuk perjalanan harian mahupun perjalanan jarak jauh.

Tahap keselesaan dan kemewahan turut dipertingkatkan melalui tempat duduk kemasan leatherette, tempat duduk hadapan dengan fungsi memori dan welcome function, tempat duduk hadapan berpengudaraan (ventilated seats) yang sesuai dengan iklim tropika Malaysia, pencahayaan ambien pelbagai warna, serta bumbung suria panoramik yang memberikan rasa ruang kabin yang lebih luas. Gabungan ciri-ciri ini menjadikan JETOUR T2 sebuah SUV serba boleh yang mengimbangi pemanduan dalam bandar dengan semangat pengembaraan hujung minggu.

Keselamatan merupakan teras utama JETOUR T2 yang telah memperoleh penarafan keselamatan 5-Bintang ASEAN NCAP. SUV ini dilengkapi enam beg udara SRS, Advanced Driving Assistance System (ADAS) Tahap 2, Panoramic View Monitoring System yang memberikan pandangan 360 darjah di sekeliling kenderaan dengan fungsi transparent chassis, serta Tyre Pressure Monitoring System (TPMS). Kesemua sistem ini bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran pemandu, mengurangkan keletihan ketika memandu dan menyediakan perlindungan menyeluruh kepada penumpang.

JETOUR T2 ditawarkan pada harga RM156,800.00. Ia didatangkan dengan jaminan kenderaan selama 7 tahun atau sehingga 150,000 km, serta jaminan rangkaian kuasa selama 10 tahun atau sehingga 1,000,000 km, sebagai bukti komitmen JETOUR Malaysia dalam memberikan keyakinan pemilikan jangka panjang kepada pelanggan. Selain itu, 3,000 pelanggan pertama yang mendaftarkan kenderaan ini akan menikmati rebat tunai sebanyak RM2,000.

Pelancaran JETOUR T2 ini turut diadakan bersempena majlis buka puasa Ramadan, sebagai tanda penghargaan JETOUR kepada komuniti Malaysia sepanjang bulan yang mulia ini. Pada malam yang sama, JETOUR turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Turtle Conservation Society of Malaysia, sebagai sebahagian daripada komitmen jenama terhadap usaha kelestarian dan penerokaan yang bertanggungjawab seiring dengan pengembangan kehadirannya di negara ini.

Leave a comment

Trending