KUALA LUMPUR, 8 September 2026 – Volvo Car Malaysia hari ini mendefinisikan semula erti kemewahan sebenar dengan pelancaran rasmi SUV tujuh tempat duduk elektrik sepenuhnya, Volvo EX90. Dipasang secara tempatan di Shah Alam, Volvo EX90 bukan sahaja membuktikan jaminan Volvo dalam menawarkan pengalaman mobiliti elektrik premium. Malah, ia adalah manifestasi kepada apa yang mampu ditawarkan oleh kemewahan halus yang meyakinkan: kebebasan untuk terus berevolusi.

Evolusi Volvo EX90 ini kini boleh dilihat secara dekat di semua pengedar sah seluruh negara bermula hari ini. Ia ditawarkan pada harga bermula RM428,888. Sebagai tanda penghargaan atas sokongan awal pelanggan terhadap SUV ini, kempen pelancaran ini turut menawarkan rebat tunai bernilai RM25,000 berserta Volvo Wallbox percuma — eksklusif untuk 100 tempahan terawal.

Chris Wailes, Pengarah Urusan Volvo Cars Malaysia dan Thailand berkongsi: “Pengenalan model EX90 sebelum ini telah melakar satu penanda aras yang penting dalam legasi panjang Volvo sebagai pengeluar automotif. Seiring dengan perkembangan infrastruktur, teknologi, dan mobiliti, dunia di sekeliling kita juga turut berubah, sama seperti keperluan dan gaya hidup kita.”

Tambah beliau lagi, “Setiap peredaran zaman pasti hadir dengan cabaran dan peluang baharu. Namun, satu elemen yang tidak pernah berubah adalah manusia — sama ada mereka yang berada di sebalik stering, mahupun mereka yang terus berinovasi demi masa depan yang lebih baik. Evolusi EX90 ini adalah titik pertemuan sempurna antara warisan Volvo dan visi masa depan kami, memandangkan sesebuah evolusi itu tidak bermakna tanpa sentuhan manusia. Hari ini, ia tampil yakin sebagai SUV Volvo — sebuah kenderaan elektrik sepenuhnya yang berteraskan keselamatan mutlak, sangat responsif, dan kekal meletakkan manusia sebagai keutamaan.”

Keselamatan Menyeluruh dari Dalam ke Luar

Evolusi EX90 mengekalkan komitmen teguh jenama ini sebagai model Volvo paling selamat setakat ini – dan akan terus mendahului dalam aspek ini seiring dengan perkembangannya sepanjang hayat kenderaan. Kemajuan ini dipacu oleh kempen Selamat anjuran Volvo Car Malaysia, yang berpegang kepada kepercayaan bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama, disokong oleh peranan sekian lama Volvo sebagai perintis dalam arena keselamatan automotif.

Janji ini diperkuat oleh Safe Space Technology – satu perisai keselamatan aktif terkini yang direka khusus untuk mewujudkan zon selamat di dalam dan di sekeliling kenderaan demi sebuah perjalanan yang Selamat. Ia dilengkapi rangkaian penderia yang sangat responsif, merangkumi radar, kamera, dan penderia ultrasonik yang berfungsi serentak untuk memberikan gambaran persekitaran yang tepat secara masa nyata di sepanjang pemanduan.

Di ruang kabin pula, dua penderia inframerah didatangkan secara standard bagi membentuk Teknologi Pemahaman Pemandu (Driver Understanding System) yang cukup intuitif. Sistem ini mampu mengesan sebarang gangguan atau kealpaan pemandu. Apabila digabungkan dengan data dari penderia luaran, sistem ini dapat ‘membaca’ tahap tumpuan pemandu dan akan campur tangan apabila keadaan benar-benar memerlukan. Selain itu, radar dalaman turut menyokong sistem pengesanan penumpang (Occupant Sensing System) bagi keseluruhan kabin. Sistem ini mempunyai tahap kepekaan yang luar biasa sehingga mampu mengesan pergerakan sekecil sub-milimeter – termasuklah nafas lembut seorang bayi yang sedang tidur. Ini merupakan satu jaminan untuk memastikan tiada ahli keluarga yang tertinggal di dalam kabin tanpa disedari.

SUV ini turut dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu termaju terkini daripada Volvo, yang menawarkan tahap sokongan pemandu serta fungsi pengelakan perlanggaran yang jauh lebih canggih. Selain daripada fungsi keselamatan standard Volvo yang telah terbukti berkesan, model ini turut didatangkan dengan ciri Pilot Assist generasi baharu serta Park Pilot Assist.

Evolusi Seni Bina Sebuah SUV Utama
Dibina untuk merintis masa depan mobiliti elektrik, Volvo EX90 membawa wawasan baharu untuk segmen SUV elektrik sepenuhnya. Ia merangkumkan teknologi elektrifikasi termaju, kemewahan halus, dan kecemerlangan kejuruteraan dalam satu pakej lengkap — yang dikuasakan sepenuhnya oleh seni bina 800-volt baharu. Dipadankan bersama rangkaian kuasa motor berkembar elektrik evolusi EX90 ini menghamburkan kuasa luar biasa sebanyak 680 hp dan 870 Nm tork. Ia membolehkan pecutan dari 0 ke 100 km/j diselesaikan dengan bersahaja dalam masa hanya 4.2 saat.

Peralihan kepada seni bina 800-volt ini bukan sahaja membantu mengurangkan berat keseluruhan dan mengoptimumkan pengurusan haba ketika mengecas. Ia juga lebih lestari kerana mengurangkan kebergantungan pada bahan tembaga, di samping berupaya melepaskan lonjakan kuasa yang lebih padu untuk pecutan yang lebih mantap. Dikuasakan oleh pek bateri 106-kWh, EX90 menjanjikan jarak pandu elektrik sehingga 617 km dengan hanya sekali cas penuh². Untuk proses pengecasan pantas, seni bina 800-volt ini menyokong kapasiti DC ultra-pantas sehingga 350kW. Ia dipadankan dengan perisian pengurusan bateri pintar Volvo bagi memastikan tempoh mengecas diminimumkan.

Hasilnya? Sebuah SUV yang sangat cekap; menjanjikan prestasi mantap dan pemanduan diperhalusi, tanpa sedikit pun mengganggu ketenangan dan kesenyapan di dalam ruang kabin.

Teknologi Pintar yang Menjadi Lebih Baik Bersama Anda
Meneruskan legasinya sebagai SUV elektrik pertama Volvo yang dipacu perisian, EX90 kini diperkasa oleh sistem pengkomputeran teras berasaskan NVIDIA DRIVE AGX Orin. Ia memiliki kapasiti pengkomputeran tahap tinggi bagi menguruskan pelbagai fungsi penting – seperti ciri keselamatan aktif, pemantauan penderia, dan pengurusan bateri yang lebih efisien. Ia juga bertindak menyelaraskan pelbagai sistem kritikal di dalam kereta pada kelajuan yang cukup luar biasa.

Menjadi nadi kepada perkakasan dan modul perisian EX90 ini ialah Superset technology stack Volvo yang serba canggih. Sistem ini membolehkan pelaksanaan kemas kini atas talian yang lebih pantas dan efisien. Penambahbaikan berterusan ini bermakna fungsi-fungsi baharu boleh diperkenalkan terus kepada SUV ini dari semasa ke semasa – merangkumi peningkatan untuk sistem infotainmen, pengurusan bateri, sehinggalah ke ciri keselamatan dan kesempurnaan pemanduan.

Selain itu, model ini turut membawakan sistem infotainmen yang sangat responsif dan intuitif, lengkap dengan Google terbina dalam. Pemandu mempunyai capaian terus kepada Google Assistant, Google Maps, serta pelbagai akses aplikasi menerusi Google Play Store. Melengkapkan lagi pengalaman premium di dalam kabin adalah sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity. Segala maklumat penting pula disusun kemas untuk tatapan pemandu menerusi tiga skrin interaktif: paparan instrumen 9-inci, skrin sentuh tengah 14.5-inci, dan juga paparan head-up.

Reka Bentuk Scandinavia yang Elegan dan Berkesedaran
Sebagai sebuah SUV elektrik premium, Volvo EX90 mempertaruhkan reka bentuk permukaan rata yang cukup sofistikated. Ia menyerlahkan prinsip rekaan Scandinavia yang sentiasa meletakkan keseimbangan sempurna di antara nilai estetika dan praktikaliti fungsi. Paduan permukaan kaca yang rata serta profil melengkung pada bahagian hadapan dan belakang menzahirkan siluet aerodinamik yang kemas. Rekaan teliti ini memastikan aliran udara bergerak lancar tanpa gangguan, lantas mengoptimumkan prestasi serta kecekapan penggunaan bateri secara keseluruhan.

Bahagian kabin EX90 pula menjanjikan pengalaman deria yang menenangkan, tertumpu kepada keselesaan dan kesejahteraan optimum. Bumbung panoramik elektrokromik membolehkan aliran cahaya semula jadi dan suhu ruang kabin dilaraskan mudah hanya melalui sentuhan butang. Balutan kulit Nappa berliang dipadankan elegan dengan sentuhan elemen kayu semula jadi bertekstur, menyuntik kehangatan dan suasana tenang ala alam semula jadi ke dalam kabin. Ruang dalaman ini ditawarkan dalam dua tema yang memukau: kulit Nappa Charcoal dengan kemasan Light Ash, atau kulit Nappa Cardamom dengan kemasan Brown Ash.

Spesifikasi Utama:
● Platform: Seni bina 800V, Twin Motor All-wheel Drive
● Prestasi: 680 hp, 870 Nm tork
● Jarak Pandu: Sehingga 617 km (WLTP)³
● Pengkomputeran Teras: Berasaskan NVIDIA DRIVE AGX Orin
● Pengecasan: 10 – 80% dalam masa 22 minit (Pengecasan Pantas DC 350kW)
● Audio: Sistem Audio Bowers & Wilkins High-Fidelity
● Infotainmen: Skrin paparan tengah 14.5-inci dengan Volvo Connect Plus⁴

Volvo EX90 kini dibuka untuk tempahan dan didatangkan dengan pilihan lima tona warna luaran yang menarik: Onyx Black, Sand Dune, Crystal White, Vapour Grey, dan Mulberry Red. Pelanggan boleh membuat konfigurasi kenderaan pilihan mereka dan menempah secara dalam talian atau kunjungi pengedar rasmi Volvo yang terdekat.

Kemas Kini MY27 Untuk Volvo ES90
Selain pengenalan evolusi EX90, model sedan elektrik sepenuhnya Volvo yang dilancarkan pada awal tahun ini, iaitu Volvo ES90, turut menerima kemas kini terbaharu. Bagi model tahun 2027, Volvo ES90 tampil dengan dua penawaran warna luaran baharu: Mulberry dan Aurora Silver. Ruang kabinnya pula dipertingkat dengan pilihan tema dalaman premium ‘Cardamom’. Melengkapkan lagi penampilannya adalah rim 21 inci dengan pilihan kemasan Glossy-Silver baharu, serta sokongan ketersambungan Android Auto™ tanpa wayar. Tempahan awal kini dibuka bermula bulan September ini, dan pelanggan layak menikmati rebat tunai sehingga RM17,6005.

Untuk maklumat lanjut mengenai barisan kenderaan elektrik Volvo Car Malaysia, layariw http://www.volvocars.com/my atau ikuti Volvo Car Malaysia di Facebook menerusi bit.ly/VolvoMY-FB dan Instagram di bit.ly/VolvoMY-IG.

Leave a comment

Trending