
PROTON S70 2027 menerima identiti RS baharu yang mencerminkan reka bentuk lebih
menyerlah, prestasi enjin turbo dan ruang kabin yang lebih berorientasikan pemandu.
SUBANG JAYA, 5 November 2026 – Pengeluar kereta nasional, PROTON hari ini mengumumkan nama rasmi bagi model sedan yang dikemas kini, iaitu 2027 PROTON S70 RS, sekali gus memberikan identiti baharu yang
lebih tersendiri kepada Sedan Sportif Malaysia. Pengumuman ini turut disertai dengan penampilan pertama reka bentuk luaran yang diperbaharui serta beberapa ciri terpilih menjelang pelancaran rasminya.

Singkatan ‘R.S.’ membawa maksud Refined Sportiness, yang mencerminkan penampilan lebih berani dan karakter sportif S70 yang semakin menyerlah. Berteraskan tema “Performance with Style”, 2027 PROTON S70 RS
meneruskan DNA sport model S70 sedia ada dengan reka bentuk yang lebih menyerlah, ruang kabin yang lebih sportif serta penambahbaikan terhadap dinamik pemanduannya.
REKA BENTUK SPORT YANG LEBIH MENYERLAH
Arah rekabentuk PROTON S70 RS 2027 memberi penekanan kepada penampilan yang lebih berorientasikan prestasi dan sportif. Perkadaran badan yang lebih menyerlah, perincian yang lebih tajam serta elemen kontras
mewujudkan penampilan visual yang lebih menonjol, memberikan sedan ini imej yang lebih tegap dan dinamik tanpa mengetepikan ciri sofistikated yang menjadi keistimewaan segmennya.

Di bahagian hadapan, gril dan bumper yang direka semula menyerlahkan identiti tersendiri model ini, dengan perincian teliti serta ‘sentuhan’ merah yang menambah kontras dan dimensi pada reka bentuknya. Bahagian sisi pula dilengkapi skirt sport, rim aloi 17 inci serta kaliper brek berwarna merah yang memperkukuh penampilan lebih
rendah dan mantap. Sementara itu, bumper belakang yang direka semula, diffuser serta kemasan empat muncung ekzos memberikan penampilan yang lebih agresif dan berkarakter.

Gabungan keseluruhan elemen ini menghasilkan reka bentuk luaran yang lebih harmoni, sekali gus menyerlahkan karakter sport kenderaan ini walaupun ketika statik. Konsep reka bentuk ini turut diteruskan ke ruang kabin menerusi kemasan dalaman dua tona dengan penambahan warna merah yang mewujudkan suasana lebih tersendiri. Konsol tengah jenis terapung serta pencahayaan ambien memberikan sentuhan moden, manakala Tombol Utama dan Penukar Kolum Otomatik membolehkan beberapa
kawalan utama dicapai dengan lebih mudah. Hasilnya, identiti 2027 PROTON S70 RS diterapkan secara menyeluruh dari luaran hingga ke ruang kabin, sekali gus mewujudkan persekitaran pemanduan yang lebih harmoni dan berorientasikan pemandu.

PRESTASI YANG MELENGKAPI KARAKTER SPORT.
Penampilan 2027 PROTON S70 RS yang lebih menyerlah turut disokong oleh kejuruteraan yang menitikberatkan prestasi. Model ini dikuasakan oleh enjin i-GT 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi 7-kelajuan Dual
Clutch Transmission (DCT), membolehkan pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam hanya 7.5 saat.

Rangkaian kuasa ini meneruskan prestasi yang telah membantu mengukuhkan kedudukan PROTON S70 sebagai
Sedan Sportif Malaysia.
MEMBAWA SEDAN SPORTIF MALAYSIA KE ERA BAHARU
PROTON S70 terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran sedan Malaysia dengan menerajui jualan bagi
kategori sedan segmen B dan segmen C. Pada Oktober 2026, rangkaian PROTON S70 mencatatkan prestasi jualan yang memberangsangkan merentasi variannya. Varian baharu S70 i-GT 1.5 Lite dan Prime menerajui jualan sedan segmen B dengan 2,338 unit,
manakala varian S70 yang lebih berkuasa terus mengekalkan kedudukan peneraju dalam segmen C dengan jualan sebanyak 3,029 unit. Secara keseluruhan, rangkaian S70 mencatatkan jualan sebanyak 5,367 unit pada Oktober, menjadikan jumlah jualan terkumpul bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini (YTD) sebanyak 26,076 unit.

PROTON S70 telah mengukuhkan kedudukannya sebagai Sedan Sportif Malaysia, dan 2027 PROTON S70 RS merupakan langkah seterusnya dalam perjalanan tersebut. Menerusi konsep Refined Sportiness, kami
memberikan model ini identiti yang lebih tersendiri melalui reka bentuk yang lebih menyerlah, prestasi enjin turbo
serta ruang kabin yang lebih sportif dan berorientasikan pemandu. Kesemua elemen ini merealisasikan tema ‘Performance with Style’, sambil mengekalkan nilai-nilai praktikal untuk kegunaan harian yang amat dihargai oleh pelanggan,” kata Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Bagi merealisasikan tema ‘Performance with Style’, PROTON akan menganjurkan pertunjukan fesyen dengan
kerjasama seorang pereka fesyen tempatan terkenal pada 10 November 2026, jam 8.00 malam.
Menggabungkan acara line-off reveal 2027 PROTON S70 RS dengan pertunjukan fesyen berkonsepkan industri, acara ini akan mengetengahkan karakter sportif sedan tersebut menerusi gabungan berani antara reka bentuk automotif dan fesyen kontemporari, sekali gus memberikan interpretasi baharu kepada Sedan Sportif Malaysia.
Acara ini akan disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi PROTON.
Menjelang pelancaran rasminya, PROTON akan berkongsi lebih banyak mengenai 2027 PROTON S70 RS menerusi kerjasama media, kandungan media sosial dan aktiviti lapangan, bagi membolehkan rakyat Malaysia
mengenali dengan lebih dekat reka bentuk, ciri-ciri serta karakter pemanduan model ini.
Untuk mendaftar minat dan mendapatkan perkembangan terkini serta peluang melihat model ini dengan lebih dekat, layari http://www.proton.com dan ikuti @ProtonCarsOfficial di semua platform media sosial utama.






Leave a Reply