
PULAU PINANG, 14 APRIL 2026 – Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan rasmi sebagai pengedar eksklusif bagi jenama motosikal ZXMOTO di pasaran Malaysia.
Kerjasama strategik ini telah dimulakan pada bulan Oktober 2025, susulan kunjungan pengasas ZXMOTO, Zhang Xue, ke kilang pemasangan motosikal Mforce yang terletak di Pulau Pinang. Lawatan tersebut menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan serta meneroka potensi kerjasama dalam
memperkukuhkan kehadiran jenama ZXMOTO di rantau ini.

Hasil daripada perbincangan yang konstruktif, kedua-dua pihak telah mencapai
persetujuan untuk menjalinkan kerjasama eksklusif, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam perkembangan industri motosikal tempatan.
Sejak Januari 2026, Mforce telah menerima tiga model motosikal ZXMOTO untuk menjalani ujian ketahanan di Malaysia. Ujian ini bertujuan memastikan setiap model memenuhi piawaian prestasi, ketahanan serta kesesuaian dengan keadaan jalan raya dan iklim tempatan sebelum diperkenalkan secara rasmi kepada pengguna Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Mforce, Asri Ahmad, pengenalan rasmi jenama ZXMOTO akan diadakan pada 29 Mei 2026 sempena acara Malaysia Bike Show 2026.

Beliau berkata, semua peminat ZXMOTO di Malaysia bakal berpeluang untuk menyaksikan beberapa model terkini yang akan dipamerkan, termasuk model-model berprestasi tinggi. Lebih istimewa, pengunjung juga berpeluang melihat model
motosikal yang telah mencipta kejayaan dengan meraih dua kemenangan (double victory) dalam kelas WorldSSP dipusingan Portugal Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK) pada 28 hingga 29 Mac 2026, yang merupakan sebahagian daripada FIM Supersport World Championship.

Tambah beliau lagi, pengunjung juga berpeluang untuk bertemu secara langsung dengan pengasas ZXMOTO, Zhang Xue, yang dijangka akan hadir memeriahkan acara tersebut.
Kerjasama ini dijangka akan membuka peluang baharu dalam menawarkan produk berkualiti tinggi kepada pengguna tempatan, di samping mengukuhkan lagi kedudukan Mforce sebagai pemain utama dalam industri pengedaran dan
pemasangan motosikal di Malaysia.







Leave a comment